Berita Utama

Mahkamah gariskan SOP, semak status kes dahulu sebelum hadir

Seorang ahli keluarga saja boleh hadir ke premis mahkamah

BANGI, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Badan Kehakiman Malaysia akan menguatkuasakan garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ketat, selaras dengan operasi semula mahkamah secara berperingkat mulai 13 Mei ini.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia berkata, garis panduan berkenaan selaras dengan langkah pencegahan yang disarankan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sehubungan itu, pihak-pihak hendaklah menyemak status kes terlebih dahulu sebelum hadir ke mahkamah, selain digalakkan untuk menjalankan urusan pemfailan dokuman secara e-filing bagi mahkamah yang mempunyai perkhidmatan berkenaan, katanya.

“Pihak-pihak yang hadir hendaklah memuat turun Borang Pelawat ke mahkamah melalui Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia bagi tujuan penjejakan sosial. Borang Pelawat tersebut juga ada disediakan di premis mahkamah.

“Hanya terdapat satu pintu masuk sahaja untuk memasuki premis mahkamah di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, pejabat berkenaan berkata, hanya pihak-pihak yang mempunyai urusan sahaja dibenarkan untuk masuk ke dalam premis mahkamah, dan bagi kes jenayah pula, seorang ahli keluarga sahaja dibenarkan untuk hadir.

Katanya, hanya seorang anak guam bagi satu pihak dibenarkan berada di bangunan mahkamah semasa pendengaran kes.

“Pemakaian penutup muka adalah diwajibkan pada setiap masa di dalam premis mahkamah. Mahkamah tidak menyediakan penutup muka kepada pihak-pihak yang hadir ke mahkamah.

“Suhu badan setiap individu yang memasuki premis mahkamah akan diambil dan hanya yang mempunyai suhu 38 darjah Celsius dan ke bawah yang dibenarkan masuk. Pihak-pihak dinasihatkan agar tidak hadir ke mahkamah jika tidak sihat,” katanya.

Pejabat itu berkata, pihak-pihak hendaklah berurusan di kaunter atau mahkamah yang telah ditetapkan tanpa berlengah.

Katanya, saksi atau pihak di dalam sesuatu prosiding hanya dibenarkan memasuki premis mahkamah 30 minit sebelum pendengaran sesuatu kes.

“Saksi-saksi hendaklah berhubung dengan pihak polis atau peguam masing-masing terlebih dahulu bagi sesuatu kes untuk memastikan kelancaran kehadiran dan urusan di premis mahkamah.

“Kedudukan dan tempat di dalam mahkamah terbuka adalah terhad. Semua pihak hendaklah mematuhi garis sempadan yang telah ditetapkan di setiap tempat duduk,” katanya.

Katanya lagi, pihak-pihak hendaklah segera meninggalkan premis setelah urusan selesai, selain diminta untuk menjaga kebersihan mahkamah.

“Pihak-pihak juga dipohon untuk mematuhi apa-apa arahan berhubung dengan wabak COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close