Berita Utama

Pemakaian pelitup muka kunci kawal penularan COVID-19

Terbukti berkesan sama seperti amalan membasuh tangan

KUALA LUMPUR, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Memakai pelitup muka di tempat awam adalah kaedah bagi membantu pengawalan jangkitan COVID-19, kata Persatuan Thoracic Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan itu berkata, perkara berkenaan penting kerana setiap nasihat kerajaan Malaysia kepada rakyat termasuk mengenakan pelitup muka, perlu berdasarkan bukti saintifik, sekali gus mengekang penularan jangkitan COVID-19 dan meningkatkan keyakinan rakyat.

“Bukti saintifik menunjukkan penggunaan pelitup muka berkesan dalam mengawal jangkitan awal. Inilah kunci inisiatif kesihatan awam, kerana sebilangan besar jangkitan COVID-19 berlaku pada fasa asimptomatik. Ia terbukti berkesan sama seperti amalan membasuh tangan sebagai langkah mengurangkan jangkitan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, persatuan itu berkata, bukti daripada negara lain menunjukkan strategi mengenakan pemakaian pelitup muka sebagai sebahagian daripada pendekatan pelonggaran seharusnya dinyatakan kepada seluruh rakyat Malaysia, dan itulah jalan terbaik.

“Oleh itu, Persatuan Thoracic Malaysia ingin menegaskan kepada pembuat dasar dan orang ramai yang menggunakan pelitup muka di tempat awam merupakan kunci dalam membantu mengawal jangkitan COVID-19.

“Masyarakat seharusnya menggunakan sama ada pelitup muka buatan sendiri atau dibeli daripada kedai dan farmasi, kerana ia mampu membantu mengawal penularannya, selagi ia digunakan dengan betul,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close