Berita UtamaIstimewaPendapat

Pemimpin gila kuasa ibarat pesakit diabetes kritikal

Mereka ajak rakyat tinggalkan Ramadan demi bantu dapatkan kuasa

WABAK COVID-19 masih belum tamat.Vaksin COVID-19 juga belum dapat dihasilkan.

Dijangka pada tahun 2021 baru terhasil vaksin tersebut. Ini bermakna wabak ini belum pasti dapat dihentikan sepenuhnya. Penyebaran semula boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kita mengharapkan insya-Allah dengan izin Allah ianya boleh berakhir dengan usaha yang telah kita lakukan.

COVID-19 adalah makhluk Allah. Allah berkuasa untuk mengangkat wabak ini pada bila-bila masa dengan kehendakNya. Begitulah harapan kita dengan Allah sepanjang hidup kita.

Hampir seluruh dunia menderita dengan wabak COVID-19. COVID-19 menyerang negara dan manusia di seluruh dunia tanpa memilih sama ada kerajaan demokrasi atau autokrasi.

Negara kapitalis atau komunis sosialis. Semua pemimpin dunia berusaha untuk menyelamatkan negara dan rakyatnya dari  dijangkiti COVID-19, meskipun terdapat beberapa buah negara, di mana rakyatnya tidak menerima sepenuhnya perintah kerajaan untuk mengawal pergerakan harian bagi tujuan mengekang penularan COVID-19.

Wabak COVID-19 juga menurunkan indeks jenayah khasnya hampir 70 peratus di Malaysia.

Peperangan dan serangan bom oleh kumpulan ekstremis di Asia Barat juga berkurangan dan tidak serancak sebelum ini.

Penumpuan sepenuhnya diberikan oleh seluruh dunia ke atas wabak COVID-19 ini.

Secara keseluruhannya, pemimpin negara dan rakyat saling bekerjsama untuk menangani wabak COVID-19.

Mereka melupakan buat sementara waktu pertelingkahan dan pergeseran yang boleh menghuru-harakan negara.

Negara demokrasi Barat dan negara Sosialis Timur turut mengambil langkah sama dalam menangani COVID-19.

Bagaimanapun, terdapat dua negara yang agak jauh berbeza dari segi sikap pemimpin mereka, kalaulah boleh digelar sebagai pemimpin. Negara Yahudi Israel dan Malaysia.

Israel tetap menyerang Gaza, Palestin tetapi dalam skala yang kecil, tidak sebagaimana kebiasaan.

Malaysia pula ada pemimpin parti politik yang tamak dan gila kuasa tahap terlampau tinggi. Ibarat pesakit diabetes yang terlalu tinggi kandungan gula dalam darah, sehingga ukurannya tak dapat dibaca atau pesakit darah tinggi hampir pecah pembuluh darah.

Beginilah sikap pemimpin dalam suasana rakyat dan negara mengharungi wabak COVID-19.

Sifat tamak mereka terlalu tinggi sehingga tak dapat diukur, sebagaimana pesakit diabetes kritikal tak dapat diukur kandungan gula dalam darah.

Malangnya, mereka bersembunyi di bawah sistem demokrasi kononnya mereka pejuang demokrasi tulen.

Mereka berjuang untuk memulihkan demokrasi di Malaysia. Lunak bunyinya tetapi penuh dengan racun yang berbisa dikala negara dan rakyat sedang menderita.

Pemimpin demokrasi Barat pun mengerti kesengsaraan rakyat sekarang ini.

Tidak kedengaran di mana-mana negara demokrasi Barat dan sosialis Timur ada pemimpin yang berusaha untuk menjatuhkan kerajaan dalam suasana sekarang kecuali Malaysia.

Tak dapat dibayangkan siapakah gerangan orang mempunyai sifat semacam ini. Adakah mereka layak digelar sebagai pemimpin.

Apa yang menyedihkan lagi mereka mengheret rakyat untuk bergelumang dengan cita-cita buruk mereka.

Pemimpin yang baik dan berakhlak sepatutnya menyeru rakyat untuk menghabiskan akhir Ramadan dengan beribadat kepada Allah SWT, selain merebut kedatangan Ramadan untuk membuat kebaikan.

Lebih-lebih lagi menjelang 10 akhir Ramadan, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka mengajak rakyat untuk berlaku sebaliknya.

Mereka mengajak rakyat untuk meninggalkan  Ramadan demi membantu mereka untuk mendapatkan kuasa dan pangkat.

Sekiranya bekas Presiden Mesir Husni Mubarak dikatakan mengalami kemurungan yang melampau hingga membawa kematian kerana kerajaannya dijatuhkan semasa Arab Spring, maka apa yang berlaku di Malaysia boleh juga disifatkan kegilaan kuasa yang melampau yang boleh mematikan akal  waras dan bijaksana.

Ustaz Sharipudin Ab Kadir
YDP ISMA Pasir Puteh
Ketua Perhubungan ISMA Kelantan

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close