Berita Utama

Wajarkah PBT mansuh sepenuhnya mesin bayaran parkir?

Penggunaan mesin bayaran berakhir pada 30 September lepas

KUALA LUMPUR, 27 Safar 1442H, Khamis – Mulai 1 Oktober, warga kota perlu membuat pembayaran parkir menggunakan aplikasi mudah alih susulan pengumuman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memansuhkan penggunaan mesin parkir di bahu-bahu jalan.

Susulan pengumuman itu, orang ramai boleh menggunakan aplikasi mudah alih dan e-dompet iaitu EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash bagi menggantikan penggunaan mesin yang berakhir pada 30 September lepas.

Dengan pelaksanaan itu, DBKL menjadi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terawal memansuhkan sepenuhnya pembayaran secara mesin dan beralih kepada gelombang digital yang dilihat memberi manfaat kepada semua pihak.

Selain menjimatkan masa, segala urusan harian seperti pembayaran bil, perbankan, pesanan makanan dalam talian menggunakan telefon pintar turut boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Namun, pengumuman yang dibuat sehari sebelum pelaksanaan itu mengundang pelbagai reaksi warga kota, termasuk ada yang meminta supaya diberikan tempoh percubaan sebelum melaksanakan sepenuhnya kaedah pembayaran normal baharu itu.

Ada juga yang mengutarakan kebimbangan kepada golongan yang tiada telefon pintar dan tidak kurang juga yang mengeluh sebab perlu pasang pelbagai e-Wallet dalam telefon pintar.

Tidak ketinggalan, ramai yang mempersoalkan aplikasi ‘Jom Parking’ tiada dalam senarai aplikasi mudah alih DBKL sehinggakan ada yang buntu terhadap sistem ‘refunding’ kerana masih mempunyai baki akaun yang agak banyak.

(Aplikasi Jom Parking diperkenalkan beberapa tahun lepas bagi memudahkan pembayaran dalam talian untuk pengguna tempat letak kereta di bahu jalan yang dikendalikan oleh DBKL).

Malah, beberapa wakil rakyat di ibu kota dari DAP dan PKR turut meminta agar DBKL mempertimbang agar tidak mengenakan saman kepada pengguna tempat letak kereta bahu jalan dalam tempoh sebulan ini.

Dalam satu kenyataan bersama selepas pengumuman itu, mereka memaklumkan arahan terbaharu itu pasti memberi kesan kepada pengguna yang perlu bertukar daripada aplikasi lama kepada baharu, termasuk isu baki akaun Jom Parking yang perlu dipindahkan atau dipulangkan kepada pengguna.

‘Bagai cacing kepanasan’, begitulah reaksi terhadap pengumuman itu oleh kebanyakan warga kota yang hampir setiap hari memandu di dalam kesibukan kota dengan kesesakan lalu lintas seterusnya terpaksa berhadapan dengan isu parkir.

Dalam kesibukan berhempas pulas pergi dan balik dari tempat kerja serta kesukaran untuk mencari petak parkir kosong sebelum masuk ke pejabat, mesin parkir yang tidak berfungsi dan kurang mesra pengguna antara cabaran yang terpaksa dihadapi kebanyakan warga kota hampir setiap hari.

Apa tidaknya, penulis sendiri pernah banyak kali menghadapi situasi ini, apabila kesemua mesin pembayaran parkir rosak dan terpaksa menanggung surat saman yang dikeluarkan oleh anggota penguatkuasa akibat meninggalkan kenderaan di petak parkir tanpa bayaran.

Ramai warga kota yang merungut berhubung mesin pembayaran parkir yang tidak mesra pengguna apabila begitu sukarnya untuk menekan butangnya ataupun mesin yang hanya menerima duit syiling serta kad Touch n Go.

Malah, ada mesin pembayaran dibiarkan rosak tanpa dibaiki walaupun sudah berkali-kali aduan dibuat kepada PBT namun masih tidak diendahkan sehingga menimbulkan kemarahan warga kota apabila mereka diberi saman kompaun.

Selebriti Azwan Ali yang dikenali Diva AA, telah beberapa kali merungut kepada DBKL menerusi video media sosialnya apabila menghadapi situasi yang sama.

Ada sebabnya mengapa DBKL memansuhkan mesin parkir secara manual, selain terpaksa menanggung kos tinggi untuk membaiki dan menyelenggara mesin-mesin itu, ia secara tidak langsung memudahkan warga kota untuk membayar menerusi sistem pembayaran digital baharu.

Dengan pelaksanaan sistem pembayaran parkir secara digital itu yang semestinya memberi keselesaan untuk pembayaran parkir namun ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Kebanyakan PBT seperti Majlis Perbandaran Seremban, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) memperkenalkan pembayaran secara aplikasi dalam talian seminggu sebelum pelaksanaannya.

Walaupun pihak berkuasa tempatan mengumumkan akan melaksanakan sistem pembayaran aplikasi itu, namun pengguna terutama warga emas atau individu yang tidak mempunyai telefon pintar masih diberi pilihan untuk menggunakan mesin parkir ataupun kupon gores.

Tempoh seminggu itu juga diberi bagi memberi mereka masa untuk mempelajari penggunaan aplikasi pembayaran secara mudah alih yang baharu.

Pengguna perlu diberi pilihan untuk membayar tiket parkir dan pada masa yang sama diberi masa menyesuaikan diri dengan normal baharu dan membuat pembayaran menerusi aplikasi mudah alih.

Mungkin ada hikmah di sebalik penggunaan aplikasi mudah alih secara sepenuhnya oleh DBKL, jika ada yang berasa ia sangat membebankan, mereka boleh menaiki pengangkutan awam untuk pergi dan balik dari tempat kerja.

Ia bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan warga kota, malah ia dapat mengurangkan jumlah pengeluaran karbon yang dikeluarkan oleh kenderaan persendirian lebih-lebih lagi apabila memandu dalam kesibukan ibu kota.

Kemudahan itu juga dilihat sangat mesra Orang Kelainan Upaya dan warga emas, selain tambang yang jauh lebih murah untuk golongan itu menaiki pengangkutan awam.

Lagipun, inisiatif kerajaan memperkenalkan pas perjalanan RM30 sebulan sejak Jun lepas menerusi program MY30 turut menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam tanpa had sehingga Disember ini, sekali gus meringankan beban mereka.

Kerjasama antara DBKL dan Kerajaan Metropolitan Tokyo (TMG) dalam mencapai sasaran di bawah Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 yang termeterai pada Oktober 2019 dilihat dapat dilaksanakan sekiranya warga kota memilih untuk menaiki kenderaan awam, berjalan atau berbasikal di sekitar ibu kota.

Oleh itu, kaedah alternatif bagi mereka yang tiada telefon pintar ataupun berasa sukar untuk menggunakan aplikasi pembayaran parkir adalah memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam di sekitar ibu kota bagi mengurangkan kesesakan seterusnya menjimatkan masa perjalanan.

Sementara itu, mengenai isu keselamatan tempat letak kereta di Kuala Lumpur, DBKL harus menyingkirkan ulat parkir yang mengutip bayaran untuk meletak kenderaan daripada pemandu kenderaan pada waktu siang atau malam.

Tidak ada papan tanda atau meter tempat letak kereta untuk menunjukkan sama ada tempat letak kereta itu milik peribadi atau awam dan pemandu kenderaan diminta untuk menganggap bahawa ulat parkir itu dilantik oleh DBKL untuk memungut bayaran tempat letak kereta.

Ketiadaan kamera litar tertutup di tempat letak kenderaan awam juga mengundang penjenayah dan perompak menyamun pemandu kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka di sana.

Adalah wajar sekiranya PBT terutamanya DBKL mempertimbang untuk memasang lebih banyak CCTV di parkir-parkir awam kendaliannya, terutamanya di kawasan gelap dan belakang lorong. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button