Berita Utama

PKPB: Bas ekspres di Sabah operasi mulai esok

Penumpang tak beri kerjasama tidak dibenarkan menaiki bas

KOTA KINABALU, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Bas ekspres di Sabah akan beroperasi semula mulai esok sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan penumpang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.

Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres, Sabah Datuk Donald Hanapi berkata, antara SOP ditetapkan termasuk mewajibkan semua penumpang mengisi borang deklarasi COVID-19, memakai penutup hidung dan mulut, mengamalkan penjarakan sosial dan memeriksa suhu badan sebelum menaiki bas.

Beliau berkata, penumpang yang tidak memberi kerjasama dalam mematuhi SOP itu tidak akan dibenarkan menaiki bas walaupun telah membeli tiket.

“Lebih 20 pengusaha bas ekspres dengan lebih 200 bas bersedia bagi memastikan SOP ditetapkan dipatuhi. Hanya separuh daripada kapasiti tempat duduk dibenarkan sebagai langkah penjarakan sosial. Pengusaha bas juga wajib melakukan disinfeksi bas masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya tiket bas ekspres boleh dibeli secara dalam talian di aplikasi Easy Book atau di kaunter Terminal Bas Inanam seperti biasa.

“Penumpang turut diingatkan untuk bersedia sepenuhnya sebelum menaiki bas termasuk menunaikan solat kerana pemandu bas ekspres tidak akan berhenti di perhentian seperti kebiasaan”, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button