Berita Utama

PRK Chini: Belum boleh buat penamaan calon secara ‘online’

Pindaan perlu proses libat urus dengan pelbagai pihak: SPR

KUALA LUMPUR, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Proses penamaan calon dan tatacara pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan, proses itu perlu mengikut kerangka perundangan sedia ada, memandangkan syor pindaan berkaitan masih dalam perbincangan dengan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Beliau berkata, beberapa prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan mengenai pengendalian proses terbabit sedang dimuktamadkan menerusi perbincangan antara SPR, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mengikut kerangka perundangan sekarang, kaedah atau proses penamaan calon tidak dapat dijalankan secara dalam talian, sebaliknya harus dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya dan ERC memang dalam perbincangan untuk meminda beberapa perkara, termasuk penukaran kaedah kepada secara dalam talian, tetapi ia akan mengambil masa yang panjang untuk dilaksanakan.

“Pindaan sedemikian memerlukan proses libat urus dengan pelbagai pihak seperti Ahli Parlimen dan Jabatan Peguam Negara, justeru kita tiada pilihan selain daripada mengendalikan ia (proses penamaan dan pengundian) mengikut kaedah sedia ada,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

DUN Chini kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuat kuasa pada hari penamaan calon, Azhar Azizan berkata, beberapa penyesuaian mungkin dapat dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Berdasarkan perundangan, beliau berkata, borang penamaan calon itu tidak semestinya dihantar oleh calon, sebaliknya boleh diserahkan penyokong atau pencadang.

“Memang tiada kewajipan untuk calon hadir ke pusat penamaan calon, jadi kita boleh hadkan bilangan yang hadir ke pusat penamaan, manakala tiada perarakan membabitkan penyokong seperti kelaziman.

“Apa pun, semua aspek ini termasuk tatacara berkempen akan diputuskan secara bersama antara MKN, KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya PKPB masih berkuat kuasa menjelang hari penamaan calon kelak, namun sekarang pun kita tiada tarikh lagi.

“SPR hanya sebagai badan pelaksana, justeru kita tunggu sedikit masa lagi apabila menghampiri tarikh sebenar, kita akan umumkan butiran selanjutnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close