Dunia

Rakyat Iraq tuntut ‘kehidupan’ lebih baik dari kerajaan baharu

PM Mustafa janji bebas tunjuk perasaan, beri ganti rugi pada mangsa

BAGHDAD, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Ratusan rakyat Iraq berhimpun di pusat bandar Baghdad dalam tunjuk perasaan antikerajaan – beberapa hari selepas pembentukan kerajaan baharu – untuk menuntut keadaan hidup lebih baik dan penambahbaikan sistem politik negara.

Perhimpunan di Dataran Tahrir semalam diadakan selepas Perdana Menteri baharu, Mustafa al-Kadhimi berjanji untuk membebaskan penunjuk perasaan yang ditangkap ketika protes besar-besaran pada Oktober tahun lalu.

Susulan mesyuarat Kabinet pertamanya, Mustafa pada Sabtu berjnji memberi keadilan dan ganti rugi kepada keluarga lebih 550 orang yang terbunuh sejak bermula demontrasi berkenaan.

Tunjuk perasaan semalam meluas ke kawasan lain, termasuk bandar al-Nasriya di selatan Iraq.

Menurut Al Jazeeraa, perhimpunan itu adalah terpenting sejak 17 Mac, apabila perintah berkurung dikuat kuasakan dalam usaha mengekang penyebaran pandemik COVID-19.

“Sejak itu, Dataran Tahrir hampir kosong dengan beberapa orang sahaja yang tinggal di khemah didirikan di sini,” kata wartawan Al Jazeera di Baghdad, Simona Foltyn.

Pembentukan kerajaan baru dibuat sekitar enam bulan selepas bekas Perdana Menteri, Adel Abdul Mehdi – yang memegang pemerintahan sementara – mengundurkan diri ketika berdepan protes besar-besaran, dan dituduh punca negara tidak berfungsi dan kehancuran ekonomi.

Krisis terhadap portfolio kerajaan sejak pengunduran Adel pada November tahun lalu, menghalang dua calon perdana menteri sebelumnya membentuk Kabinet dan merumitkan konflik politik di negara berkenaan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button