Berita Utama

Reman pemandu mabuk rempuh polis disambung lagi

Permohonan sambung reman dibenarkan tiga hari hingga 13 Mei

KUALA LUMPUR, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Reman terhadap lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh seorang anggota polis menyebabkannya maut dalam Sekatan Jalan Raya Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Kajang disambung hingga Rabu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan ringkas memaklumkan permohonan untuk menyambung reman lelaki itu dilakukan di mahkamah pagi ini dan dibenarkan disambung reman tiga hari lagi sehingga 13 Mei.

Pemandu Toyota Hilux itu ditahan pada 3 Mei lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 8 Mei.

Bagaimanapun lelaki itu ditahan semula dan di reman tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dalam insiden pada 2.11 pagi, 3 Mei lepas, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan jenis Hilux yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button