Berita Utama

Singapura catat 486 kes baharu

Jumlah kes rendah disebabkan sedikit ujian diproses di makmal

SINGAPURA, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan 486 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 23,822.

Data awal setakat tengah hari tadi menunjukkan hanya dua kes membabitkan penduduk tetap manakala selebihnya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Kementerian itu berkata, jumlah kes yang rendah hari ini antaranya disebabkan sedikit ujian diproses di makmal kerana ia bagi menentukan semula satu daripada kit ujian yang digunakan.

Perincian kes masih diteliti dan kemas kini kes berkenaan akan dimaklumkan kemudian, kata kementerian itu dalam kenyataan di sini.

Singapura pada Ahad melaporkan 33 kes yang sebelum ini diuji positif didapati tidak benar susulan timbul isu berkaitan penentukuran radas bagi salah satu kit ujian penyakit itu.

Kementerian itu berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan, dan menambah bahawa makmal itu telah menghentikan semua ujian, dan sedang berusaha menyelesaikan isu penentukuran itu.

Selain itu, terdapat dua hasil ujian yang kurang jelas sebelum ini, dan ia kemudiannya disahkan negatif selepas melalui ujian semula.

Setakat ini, Singapura mengklasifikasikan 1,329 kes sebagai kes komuniti, 580 kes import dan 466 kes melibatkan pekerja asing di luar asrama.

Sementara itu, pekerja asing di asrama mendominasi kes yang dilaporkan pada Ahad dengan 20,961 kes atau 90 peratus daripada keseluruhan 23,336 kes.

Republik itu juga mengenal pasti lima kluster baharu pada Ahad dan sebanyak 90 kluster dilaporkan setakat ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button