Berita Utama

1,368 PATI ditahan serbuan di Pasar Borong KL

Mereka akan diusir ke negara asal setelah jalani hukuman

BANGI, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Seramai 1,368 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang semalam.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi berkenaan disertai 1,136 pegawai terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata, operasi itu meliputi seluruh zon dalam kawasan pusat bandar Utara Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan 6 (PKPD 6).

“Kawasan ini menjadi tumpuan lambakan warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan pasar borong.

“Seramai 7,551 warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 1,368 orang PATI telah ditahan dan dibawa untuk proses dokumentasi di JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Indera Khairul berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 421 orang warga Indonesia, 54 (India), enam (Pakistan), 790 (Myanmar), 78 (Bangladesh) dan selebihnya lain-lain warganegara.

“Jumlah tahanan ini terdiri daripada 1,009 lelaki, 261 wanita dan 98 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan. Semua warga asing yang diperiksa dan PATI yang ditahan telah disahkan negatif COVID-19 oleh KKM.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen (pas/permit) palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka akan disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migram (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka semua akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close