Berita Utama

Warga KKM disaran amal langkah pencegahan universal COVID-19

Amal ketika jalani pembedahan, rawat pesakit, sambut kelahiran

PUTRAJAYA, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Warga Kementerian Kesihatan (KKM) disaran mengamalkan langkah-langkah pencegahan universal apabila menjalankan pembedahan, merawat pesakit atau menyambut kelahiran di hospital dan klinik.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara langkah pencegahan universal yang boleh diambil adalah memakai pakaian perlindungan diri (PPE), penutup hidung dan mulut, serta pelindung muka.

“Langkah pencegahan perlu diambil walaupun belum ada keputusan ujian COVID-19 pesakit sebagaimana prosedur yang sama dilaksanakan ketika menguruskan kes kecemasan melibatkan pesakit HIV dan Hepatitis C,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata bagi anggota kesihatan yang tidak mengambil langkah pencegahan, KKM akan memastikan mereka menjalani ujian swab untuk COVID-19 dan kalau pesakit dikenal pasti kes positif selepas pembedahan ataupun rawatan, dewan bedah dan bilik rawatan akan dilakukan disinfeksi.

Memandangkan kebarangkalian tinggi COVID-19 untuk berada dalam masyarakat untuk tempoh sehingga dua tahun, KKM telah ambil inisiatif saringan COVID-19 ke atas semua pesakit sebelum menjalani pembedahan kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM.

Ditanya kes positif COVID-19 melibatkan adik-beradik di Perak yang seorang daripadanya tidak bergejala dikesan positif melalui saringan sebelum kembali bekerja, Dr Noor Hisham berkata kemungkinan ia adalah kes sporadik dan ia dikesan kerana kepatuhan individu untuk menjalankan saringan.

Beliau berkata kes sporadik semakin berkurangan berikutan penurunan kes positif COVID-19 yang dikesan melalui SARI (Severe Acute Respiratory Infection).

KKM akan memperluaskan lagi pengesanan kes-kes sporadik di klinik seluruh negara supaya dapat memantau dan mengesan mereka di peringkat awal.

“Kalau syarikat nak menjalankan ujian COVID-19 untuk pekerja ia dialu-alukan tetapi itu inisiatif mereka dan kalau kes positif dikesan, KKM boleh asingkan dan beri rawatan,” katanya.

Mengenai perkembangan warga asing yang disaring, Dr Noor Hisham berkata seramai 25,156 individu telah disaring dengan 1,211 kes positif dikesan.

Daripada jumlah itu, seramai 495 masih dirawat dalam hospital, tiga kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 712 orang pulih sepenuhnya manakala empat kematian dilaporkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close