Berita Utama

COVID-19: Kes jangkitan SARI menurun

KKM terus giatkan aktiviti pengawasan meskipun kes turun

PUTRAJAYA, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes positif COVID-19 dalam kalangan pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di negara ini menunjukkan penurunan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, setakat minggu epidemiologi (epid) ke-18, sebanyak 9,010 sampel telah diambil melibatkan pesakit kes Influenza (ILI) dan jangkitan SARI.

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 81 sampel disahkan positif COVID-19.

“Bagi pesakit ILI, 14 kes positif COVID-19 dikesan daripada 1,594 sampel (0.94 peratus), manakala pesakit SARI, sebanyak 67 kes positif COVID-19 dikesan daripada 7,416 sampel (0.9 peratus).

“Secara keseluruhannya terdapat penurunan kes positif COVID-19 yang dikesan dalam kalangan pesakit SARI.

“Jika dibandingkan, pada minggu epid ke-13, kadar positif adalah sebanyak 8.7 peratus iaitu 25 kes dikesan daripada 288 sampel SARI, manakala, pada minggu epid ke-18 pula, kadar positif adalah 0.13 peratus iaitu satu kes dikesan daripada 772 sampel SARI,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Justeru, beliau berkata KKM akan terus mempergiatkan aktiviti survelan (pengawasan) meskipun terdapat penurunan kes COVID-19 dalam kalangan kumpulan pesakit berkenaan.

“Meskipun begitu, kadar positif yang dikesan melalui aktiviti survelan adalah menurun dan kekal rendah buat masa ini.

“Walau bagaimanapun, pihak KKM menyeru supaya masyarakat tidak leka dengan trend penurunan ini,” ujarnya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close