Berita Utama

Dua ADUN PKR keluar parti, umum sokong Muhyiddin

Azman, Robert jadi ADUN Bebas, mesra kepada Bersatu

SUNGAI PETANI, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di Kedah mengumumkan keluar parti dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat.

ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Kedah dan menjadi ADUN Bebas mesra kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika ini.

Keduanya menyatakan demikian dalam satu pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam, Sungai Petani, hari ini.

Mereka menegaskan keputusan terbabit diambil susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut mereka, Anwar dilihat mempunyai kepentingan peribadi untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam perkembangan sama, satu sidang media PN dijadualkan diadakan pada 3 petang ini, yang dijangka disertai pimpinan PAS dan UMNO Kedah bagi mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu, lapor Harian Metro.

Ketika ini, PAS dan UMNO mempunyai 17 kerusi DUN Kedah dan tambahan dua kerusi PKR menjadikan jumlah dimiliki gabungan itu adalah 19 kerusi.

Jumlah itu sudah mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri baharu yang bakal menyaksikan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti.

Minggu lalu, PAS Kedah mengumumkan keyakinan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri PH yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Keyakinan itu bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain kepincangan dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan ADUN PH ketika ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close