Berita Utama

Anwar tak kisah COVID-19, lebih pentingkan jawatan PM

Jika dakwaan betul, rakyat bakal saksikan DAP kembali dalam kerajaan

BANGI, 7 Safar 1442H, Jumaat – Pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lebih sekadar publisiti murahan daripada seorang ahli politik terdesak yang sudah tamat tempoh sahnya atau ‘expired’.

Pemerhati politik, Ir Lukman Al Hakim berkata, rakyat masih belum lupa pengumumannya pada tahun 2008 dan awal 2020 bahawa beliau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri.

Malah, Anwar juga terkenal dengan muslihat licik dalam politik seperti Langkah Kajang, Langkah Port Dickson dan beberapa kontroversi lain yang sememangnya sukar dipercayai, kata Lukman.

“Beliau amat berkepentingan dan mempunyai agenda peribadi yang merbahaya kepada kedaulatan negara. 

“Apatah lagi apabila beliau sering dikaitkan dengan hubungan akrabnya dengan Amerika Syarikat dan sekutu kuasa dunia itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lukman berkata, sifat itu juga mengundang ketidakselesaan ramai terutama rakyat, kerana negara sedang berperang dengan gelombang kedua COVID-19. 

“Bukankah fokus seluruh jentera dan pemimpin negara tidak kira kerajaan dan pembangkang adalah untuk mengurus pendemik ini? 

“Namun nampaknya, semua ini tidak penting bagi Anwar Ibrahim dan rakan-rakan seperjuangannya. Yang penting dia inginkan kuasa sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Lukman berkata, setelah dipecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998, meringkuk di dalam penjara bertahun-tahun, dinafikan jawatan dalam kerajaan ketika Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 serta sekali lagi dinafikan peluang sebagai Perdana Menteri setelah Dr Mahathir meletak jawatan pada Mac 2020.

Dakwanya, ternyata Anwar kini kemaruk pangkat dan hilang kewarasan akal untuk mendapatkan jawatan tertinggi yang telah lama diidamkan.

Bahkan, beliau berkata, jika betul sekalipun Anwar mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen, hakikatnya ia merupakan musibah besar terhadap negara kerana sudah tentu DAP yang anti-Perlembagaan, anti-Islam dan antiperpaduan nasional bakal naik semula dalam kerajaan.

“Ia juga merupakan musibah besar kerana terbukti Ahli Parlimen kita tidak memiliki pendirian dalam perjuangan, tiada agenda serta saling melompat ke sana-sini demi habuan material yang bukan sedikit nilainya.

“Jika diadakan PRU15 sekalipun, ia bukan jaminan keadaan akan kembali stabil kerana mereka akan terus lompat-melompat selepas PRU15 berdasarkan kepentingan peribadi dan habuan material dan pangkat yang menanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button