Berita Utama

Jurujual wanita didenda RM1,000 ingkar PKP

Didakwa sengaja berada di kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah

KUALA LUMPUR, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Seorang jurujual wanita yang keluar dari rumah untuk membeli makanan di sebuah restoran, tetapi tidak terus pulang selepas selesai membeli sebaliknya berbual dengan rakannya, didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Teng Li Chin, 57, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya, dan beliau turut diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Dia didakwa dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah yang menghendakinya berada dalam rumah di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di Restoran Try To Eat, Jalan Bandar Rawang 2, Pusat Bandar Rawang di sini, pada 4 petang, 1 Mei lepas.

Teng dituduh mengikut Peraturan 3(1) Peraturan sama, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal terhadap wanita itu, bagaimanapun peguam Erni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Teng, memohon hukuman denda minima kerana anak guamnya telah insaf atas perbuatannya.

“Pada hari kejadian anak guam saya telah pergi membeli makanan di sebuah restoran namun dia tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya dia bersembang dengan rakannya di restoran berkenaan,” kata peguam itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close