Berita Utama

Kaunter JPJ beroperasi 7 hari seminggu

Dikecualikan bagi hari cuti am diisytihar kerajaan

PUTRAJAYA, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan beroperasi selama tujuh hari seminggu bagi membolehkan urus niaga tertunggak diselesaikan secepat mungkin serta mengelakkan kesesakan pelanggan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata pelaksanaan operasi tujuh hari seminggu bagi kaunter JPJ di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu akan bermula 15 Mei ini manakala negeri-negeri lain adalah pada 16 Mei.

“Operasi tujuh hari seminggu ini akan berterusan sehingga arahan pemberhentian dikeluarkan. Walau bagaimanapun ia dikecualikan bagi hari cuti am yang telah diisytiharkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, masa operasi bagi hari Sabtu dan Ahad/Jumaat adalah dari 8 pagi hingga 1 tengah hari dengan kutipan hasil hanya melalui transaksi ‘e-payment’.

Wee dalam pada itu berkata JPJ akan membuka semula transaksi di kaunter secara berfasa mulai esok (13 Mei) selepas ditutup sejak 20 Mac lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mulai 13 Mei, kaunter JPJ di seluruh negara akan kembali memulakan transaksi melibatkan tiga urusan seperti cetakan Vehicle Ownership Certificate (VOC) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) kali pertama bagi tukar hak milik dan pendaftaran baharu.

Urusan lain ialah pengesahan biometrik pemunya baharu (pembeli) bagi urusan tukar hak milik secara sukarela (kenderaan persendirian) dan permohonan permit memandu antarabangsa, katanya.

Wee berkata pembukaan kaunter JPJ adalah selari dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi menerusi pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button