Berita UtamaIstimewa

Kerajaan perlu ‘berani’ hantar pulang pelancong China

Ia keputusan penting demi keselamatan negara, rakyat Malaysia

BANGI, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Kerajaan perlu mempertimbangkan tindakan untuk menghantar pulang ratusan pelancong China yang dilaporkan tiada rekod keluar dari Malaysia ke negara asal mereka demi kesejahteraan ekonomi rakyat.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, beliau bimbang dengan laporan penganalisa ekonomi menjangkakan seramai satu hingga dua juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan akibat daripada wabak pandemik COVID-19.

Memandangkan Malaysia mempunyai lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI), beliau berkata, adalah tepat sekiranya kerajaan ‘berani’ membuat keputusan menghantar mereka pulang atas sebab keselamatan negara dan rakyat Malaysia.

“Sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini juga PDRM telah membongkar satu demi satu kumpulan pelancong dari tanah besar China yang tidak kembali pulang dan jumlahnya dianggarkan mencecah ratusan ribu.

“Malaysia juga jelas sarat dengan kebanjiran pendatang asing tanpa izin dan jumlahnya dianggarkan seramai 3.3 juta orang. Saya serahkan kepada kerajaan dan agensinya untuk membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 28 April lalu, seramai 30 individu warga China ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di sebuah unit kondominium di Bandar Mahkota Cheras, Kajang.

Sehari selepas itu, polis menahan 44 warga China termasuk lapan wanita selepas menyerbu empat rumah banglo dipercayai menjadi lokasi aktiviti perjudian dalam talian, di Nilai, Negeri Sembilan.

Sebelum ini, negara pernah dikejutkan dengan penangkapan 680 warga China yang aktif menjalankan aktiviti sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar di Cyberjaya.

Kemudian, 87 lagi ditahan di beberapa unit kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong juga menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati, tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lalu.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close