Berita Utama

KKM kaji cara kurangkan kesesakan di hospital

Supaya penjarakan sosial dapat dilaksanakan dengan baik

KUALA LUMPUR, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji kaedah bagi membenarkan pesakit melakukan temu janji bersama doktor mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya sedang melihat kepada beberapa idea dan inovasi yang berupaya untuk mengurangkan kesesakan di hospital pada satu masa supaya penjarakan sosial dapat dilaksanakan dengan baik.

“Sekarang kita sedang melihat bagaimana kita dapat melaksanakan janji temu pesakit dan memastikan kita hanya berjumpa pesakit apabila perlu.

“Pesakit yang datang ke hospital atau klinik, mereka mesti menunggu di dalam kereta mereka terlebih dahulu.

“Jadi apabila sudah tiba masa temu janji mereka, kemudian itu mereka akan berjumpa dengan doktor,” jelasnya seperti dipetik Astro Awani.

Sementara itu, beliau menekankan bahawa pihaknya di KKM sedang berusaha untuk melihat kepada beberapa idea dan inovasi untuk memastikan bahawa langkah-langkah tersebut dilakukan mengikut SOP.

“Ia bermula di klinik contohnya temu janji secara alam maya dan kami juga menyediakan perkhidmatan, yang mana anda tidak perlu datang ke hospital untuk mengambil ubat tetapi kami memberikan ubat kepada anda.

“Sekarang kita sedang melihat perkhidmatan, yang boleh memberikan khidmat terhadap kesihatan ibu dan anak-anak. Baru-baru ini, kami menyediakan penjagaan selepas bersalin untuk berapa orang.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa KKM sedang melihat kepada pelbagai aspek bagi menambah baik sistem perkhidmatan kepada orang ramai.

“Sekiranya kita dapat mengurangkan kesesakan di hospital atau klinik, untuk itu kita boleh mengamalkan penjarakan sosial di hospital,” jelasnya lagi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button