Berita Utama

Boleh nak laksana semula GST, tapi mesti kadar rendah 3 peratus

Kos sara hidup tinggi dan gaji pula rendah, rakyat terus terbeban

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Rabiulawal 1445H, Isnin – Kerajaan perlu membuat pertimbangan serius termasuk keadaan ekonomi rakyat sekiranya mahu memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

GST sebanyak enam peratus pernah diperkenalkan pada 2015, tetapi telah dimansuhkan pada 2018 dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, banyak perkara perlu diambil kira sebelum pelaksanaan semula GST supaya tidak membawa masalah kepada rakyat.

“Ini bagi mengelakkan rakyat tertekan dari segi kos sara hidup yang tinggi, gaji rendah dan harga barangan atau keperluan semakin membebankan.

“Rakyat mungkin boleh faham yang kerajaan juga perlukan duit tetapi bukan dengan penetapan kadar yang tinggi sehingga membawa kepada masalah kepada rakyat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST yang pernah dimansuhkan pada 2018 lalu.

Namun, Dr Nuradli berkata,penetapan kadar itu disarankan lebih rendah supaya tidak membebankan rakyat.

“Kalau dahulu penetapan kadar adalah sebanyak enam peratus mungkin kali ini boleh turunkan kepada tiga peratus,” katanya.

Terbaharu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan bahawa subsidi bersasar perlu dilaksana terlebih dulu sebelum memikirkan tentang kembalikan GST.

“Adakah GST akan dilaksana? Tahun ini tentu tidak. Tiada keputusan untuk akan datang. Namun, kajian dan penjelasan untuk kefahaman rakyat diteruskan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button