Berita Utama

Lagi PPE dari China buat ‘frontliners’ di Sarawak

Siap sedia hadapi kemungkinan gelombang kedua

KUCHING, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Bekalan tambahan peralatan perlindungan diri (PPE) dari China tiba di sini awal pagi ini, sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan gelombang baharu penularan wabak COVID-19 di Sarawak.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, sebanyak 56 tan metrik PPE itu tiba di lapangan terbang di sini pada pukul 3.00 pagi menggunakan pesawat kargo yang disewa khas dari Shanghai, China.

“Dengan bekalan PPE ini, kami dapat bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua. Kami tidak mahu terperangkap (dalam kesukaran mendapatkan bekalan PPE) seperti yang berlaku pada awal penularan COVID-19, kerana peningkatan terhadap kes dan permintaan bekalan berlaku di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan bekalan diterima di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing yang turut sama melakukan pemeriksaan berkata, antara PPE yang diterima termasuk 192,000 pasang apron pakai buang kalis air, penutup kasut (184,000 keping), topi jururawat (184,000 keping) dan penutup kepala perubatan (184,000 keping).

“Perolehan ini dapat meningkatkan tahap kesediaan kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di Sarawak bagi membantu petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19. Ia juga sebagai persediaan untuk memastikan bekalan PPE mencukupi jika berlaku sebarang peningkatan kes selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close