Berita Utama

Maksimum 17 pelajar dalam satu kelas bila sekolah dibuka semula

Pastikan SOP dipatuhi pelajar Tingkatan Lima, Enam terlebih dahulu

KUALA LUMPUR, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin berkata, hanya 16 hingga 17 pelajar dapat ditempatkan dalam satu kelas pada satu-satu masa, jika sesi persekolahan dibuka semula kelak.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan sekolah pasca COVID-19 yang akan diperincikan pihaknya, nanti.

“Kalau dulu dalam kelas ada 35 orang tapi dalam keadaan baharu ini, tidak boleh ramai. 

“Dalam konteks penjarakan sosial ini, paling ramai adalah 16 ke 17 orang dan bagi sekolah yang mempunyai kelas yang besar, jumlah pelajar boleh mencecah 20 orang. Ini bermakna, jumlah pelajar dalam kelas sebelum ini perlu dipecah dua,” katanya.

Beliau dilaporkan berkata demikian pada wawancara khas dalam program ‘Soal Rakyat’ yang disiarkan di TV3, malam tadi.

Mohd Radzi berkata, kementeriannya sudah pun membuat percubaan di lapangan bagi menentukan jumlah pelajar yang wajar dalam satu kelas berdasarkan keluasannya, supaya penjarakan sosial dapat dilaksanakan untuk mengelak penularan COVID-19.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya perlu melihat kaedah pengajaran dalam dua kelas yang akan dipecah dua nanti.

Beliau tidak menolak kemungkinan kelas dalam ruang kecil perlu dibawa ke dewan yang lebih besar sebagai contoh.

“Kementerian sudah ada beberapa opsyen yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan selepas COVID-19 reda dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan, pelajar dapat kembali ke sekolah tanpa kita kompromi keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kementerian akan memastikan SOP itu dapat dipatuhi sepenuhnya melalui pembukaan sesi pembelajaran kepada pelajar kelas peperiksaan iaitu Tingkatan Lima dan Enam terlebih dahulu, sebelum dibuka kepada tahap lain.

Bagaimanapun, Mohd Radzi mengakui, pelaksanaan SOP itu kelak akan menjadi cabaran kepada guru untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi kebiasaan baharu dan SOP berkenaan dipatuhi.

“Selain itu, guru juga perlu melihat kembali perkembangan pembelajaran secara dalam talian yang dilaksanakan sebelum ini, bagaimana pencapaian pelajar dan setakat mana silibus yang dapat diselesaikan.

“Jadi, banyak perkara yang perlu dilaksanakan guru pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan cabaran kepada guru adalah untuk melihat garis asas dan bagaimana ia boleh ditambah baik untuk memastikan pelajar dapat terus dipacu ke hadapan,” katanya.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga akan memberi tumpuan kepada keperluan untuk pelajar memiliki peranti digital terutama komputer atau tablet supaya pembelajaran di rumah tidak terhenti, sebaliknya dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button