Berita Utama

Malaysia dalam fasa peralihan ke monsun Barat Daya

Ramal hujan lebat, ribut petir tapi cuaca agak panas sebelah pagi

KUALA LUMPUR, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Cuaca negara kini dalam fasa peralihan iaitu daripada monsun Timur Laut kepada monsun Barat Daya, yang dijangka berakhir pada minggu ketiga Mei, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon.

Beliau berkata, pada peralihan monsun diramalkan berlaku hujan lebat dan ribut petir, bagaimanapun cuaca agak panas di sebelah pagi.

“Sekarang peralihan monsun bermula pada Mac dan dijangka berakhir pada minggu ketiga Mei, jadi bila monsun Barat Daya, hujan dan ribut petir akan mula berkurangan nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tambah beliau, sekitar bulan Ogos dan September pula dikhuatiri berlaku jerebu rentas sempadan, berikutan angin dari arah Barat Daya.

Ditanya sama ada negara kini berdepan dengan cuaca panas melampau atau El Nino, beliau menafikan perkara berkenaan.

“Keadaan panas sekarang ini bukan luar biasa, setiap tahun macam ini, El Nino pada 2016 cuaca sampai 39 darjah Celsius, tapi untuk tahun ini paling tinggi sekitar 37 darjah Celsius, dan hampir kepada 38 darjah Celsius iaitu hanya di Kedah dan Perlis,” kata Jailan.

Semalam, suhu hanya mencatatkan 34 darjah Celcius dan hanya sesetengah tempat menunjukkan bacaan 35 darjah Celsius, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button