Berita Utama

Mohamad Zahir dilantik Speaker DUN Perak

Berlaku kekecohan ketika usul ganti Speaker baharu dibuat

IPOH, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu menggantikan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Turut dilantik Timbalan Speaker yang baharu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahya menggantikan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli.

Pelantikan di buat sempena Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14 di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurut Sinar Harian, berlakunya kekecohan ketika usul menggantikan Speaker yang di buat ke atas Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Namun perkara tersebut disokong oleh ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad.

Koo Ham mulanya tidak menerima usulan tersebut berdasarkan Perintah Tetap DUN Perak berikutan jawatan Speaker DUN hanya boleh dibuat jika terdapat kekosongan.

Selepas didesak, beliau akur dan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Speaker DUN Perak bagi mengosongkan jawatan tersebut lalu mengumumkan penangguhan mesyuarat.

Semua ADUN pembangkang turut keluar dewan selepas pengumuman penangguhan dibuat.

ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dilantik sementara mempengerusikan mesyuarat selepas penangguhan.

Ahmad Faizal bangun mencadangkan nama Mohammad Zahir sebagai Speaker DUN yang baharu dan disokong penuh semua ADUN kerajaan dan tiga ADUN bebas.

Seterusnya, Saarani pula bangun mencalonkan nama ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya sebagai Timbalan Speaker DUN Perak yang baharu yang kemudiannya disokong ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria serta mendapat undian sebulat suara ADUN kerajaan dan bebas.

Pada persidangan itu, tiga wakil rakyat turut dilantik sebagai Exco kerajaan Perak yang baharu iaitu ADUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun; ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close