Berita Utama

Penduduk Malaysia meningkat kepada 32.73 juta orang pada suku pertama 2020

Selangor catat penduduk paling ramai, Wilayah Persekutuan Labuan terendah

PUTRAJAYA, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 32.73 juta orang pada suku tahun pertama 2020, iaitu peningkatan sebanyak 0.6 peratus berbanding suku tahun pertama 2019, menurut laporan Perangkaan Demografi bagi suku tahun pertama 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu merangkumi 29.62 juta orang atau 90.5 peratus warganegara, dan 3.12 juta orang atau 9.5 peratus bukan warganegara.

Beliau berkata, penduduk lelaki meningkat daripada 16.81 juta orang pada suku tahun pertama 2019 kepada 16.90 juta orang sementara penduduk perempuan pula meningkat daripada 15.72 juta orang kepada 15.84 juta orang bagi tempoh yang sama.

“Nisbah jantina kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Uzir, Selangor kekal mencatatkan penduduk paling ramai pada suku tahun pertama 2020 dengan 6.57 juta orang manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan penduduk terendah iaitu 99,600 orang.

Pada suku tahun pertama 2020, penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) menurun kepada 7.53 juta berbanding 7.63 juta pada suku tahun pertama 2019 manakala penduduk berumur 15–64 tahun (umur bekerja) meningkat kepada 22.95 juta orang berbanding 22.74 juta.

Penduduk berumur 65 tahun ke atas (umur tua) turut meningkat daripada 2.16 juta kepada 2.26 juta orang pada suku tahun pertama 2020 dan trend tersebut selari dengan negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk, katanya.

Menurut Mohd Uzir, sebanyak 115, 439 kelahiran hidup direkodkan pada suku tahun pertama tahun ini, menurun 1.6 peratus berbanding suku tahun pertama tahun lepas (117,146).

Sebanyak 43, 226 kematian direkodkan bagi suku tahun pertama tahun ini, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close