Berita Utama

PH Kedah tumbang, 23 ADUN hilang percaya terhadap Mukhriz

PN bentuk kerajaan, tunggu Presiden kemuka calon MB

BANGI, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Setelah lebih dua bulan khabar angin mengenai kemelut politik di Kedah, akhirnya Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan mengambil alih pimpinan kerajaan negeri dari Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu diumumkan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu sidang media sebentar tadi.

Beliau berkata, seramai 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – terdiri daripada 15 ADUN PAS, dua (BN), empat (Bersatu) dan dua bekas ahli PKR – telah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

“Dengan kehilangan kepercayaan kepimpinan tersebut, maka kerajaan PH Kedah telah jatuh dan hilang keabsahan kuasa selaku kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta.

“Justeru, atas kesepakatan bersama, 19 daripada 23 ADUN yang hadir hari ini bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Kedah baharu atas nama Perikatan Nasional,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, proses peralihan kuasa akan dilakukan secara tertib dan aman, di mana Presiden setiap parti dalam gabungan PN di peringkat Persekutuan akan mengemukakan calon Menteri Besar yang baharu.

“Presiden parti-parti gabungan PN di peringkat Persekutuan akan mengemukakan calon MB baharu melalui Setiausaha Kerajaan Negeri bagi diperkenankan seterusnya menerima tauliah lantikan daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Itu nanti Presiden akan jawab. Sudah ada nama, tetapi tidak boleh dimaklumkan sekarang,” katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri PH yang diketuai Mukhriz goyah selepas dua ADUN PKR mengumumkan keluar parti dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat.

ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan PN Kedah dan menjadi ADUN Bebas mesra kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini.

Keduanya menyatakan demikian dalam satu pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Sidam, Sungai Petani, hari ini.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close