Berita Utama

PKR tuntut RM10 juta dari dua ADUN keluar parti

Sudah tandatangan dokumen setia sebelum jadi calon pilihan raya

SUNGAI PETANI, 19 Ramadan 1441H, Selasa – PKR mengemukakan tuntutan sebanyak RM10 juta daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti hari ini.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, tuntutan itu sebagai tindakan pengkhianatan kedua-dua ADUN terbabit yang telah berjanji dan berikrar selain menandatangani dokumen taat setia sebelum menjadi calon pilihan raya sebelum ini.

Menurutnya, tindakan mereka keluar parti atau lompat parti membolehkan mereka berhadapan dengan tindakan oleh PKR.

“PKR akan mengemukakan tuntutan sebanyak RM10 juta setiap seorang atas pengkhianatan yang mereka lakukan hari ini,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Johari berkata, pengkhianatan yang dilakukan terhadap parti membuktikan kedua-dua ADUN itu lebih mengutamakan kepentingan diri berbanding perjuangan parti yang telah diperjuangkan selama 22 tahun ini.

“Jadi mereka bersedialah berhadapan dengan apa jua situasi, kerana inilah yang mereka janji kepada rakyat untuk memberi khidmat tetapi telah mengkhianatinya.

“Kepada rakyat percayalah walaupun kedua-dua ini meninggalkan PKR, tetapi PKR peringkat negeri akan pastikan kebajikan rakyat Sidam dan Lunas tidak akan kami abaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada tindakan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin mengumumkan keluar parti PKR menjadi ADUN Bebas dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close