Berita Utama

Suami isteri warga Myanmar ingkar PKP didenda RM700

Bakal dipenjara 14 hari, sekira gagal bayar denda

KUALA LUMPUR, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Sepasang suami isteri warganegara Myanmar yang keluar dari rumah atas alasan pergi ke bank untuk mengeluarkan duit, hari ini masing-masing didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu ke atas Tluang Kip Thang, 42, seorang tukang urut dan isterinya, Lal Runi, 41, yang tidak bekerja.

Mahkamah juga memerintahkan mereka dipenjara 14 hari, sekiranya gagal membayar denda. Pasangan suami isteri itu membayar denda berkenaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama bergerak dari rumah mereka di Jalan Manis 1, Taman Segar ke Taman Permainan, Jalan Persiaran Lemak, Taman Segar, Cheras yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 7.30 pagi, 30 April lepas, di bawah Peraturan 11(1) Peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Mohd Jaafar memohon hukuman maksimum berbentuk pengajaran diberikan kepada kedua-dua tertuduh, namun peguam, Mohd Ruzaini Zulkifli merayu hukuman denda minimum atas alasan kedua-dua anak guamnya keluar pada hari kejadian untuk mengeluarkan duit di bank.

“Tluang keluar ditemani isterinya kerana dia mengalami masalah kesihatan dan mereka kesal serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. Kedua-dua anak guam juga berada dalam tahanan reman selama 12 hari sejak mereka ditangkap pada 30 April lepas,” kata peguam itu.

Sementara itu, sembilan lelaki termasuk warganegara Myanmar, Pakistan dan rakyat tempatan turut didenda RM700 atau dipenjara 14 hari kerana melakukan kesalahan sama.

Seorang lagi lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa dan diberi jaminan RM700 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Jun depan.

Kesemua mereka berumur antara 20 hingga 35 tahun didakwa bergerak dari tempat dari satu tempat ke tempat yang lain di sekitar Wangsa Maju, Bukit Bintang dan Cheras di sini, antara 28 April hingga 3 Mei lepas.

Mereka antara lain memberi alasan keluar untuk mengambil air di mesin, membeli ubat untuk penyakit darah tinggi dan menelefon keluarga di kampung kerana talian di dalam rumah tidak berapa jelas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button