Berita Utama

Sudah tiba masa Tun M biarkan Mukhriz berdiri sendiri dalam politik

Jawatan kerajaan bukan diwarisi seperti syarikat keluarga, harta

BANGI, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Sudah tiba masanya untuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membiarkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ‘berdiri atas kaki sendiri’ dalam mengurus politik dan mentadbir, kata Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil.

Beliau berkata, sampai bila Dr Mahathir mahu melindungi Mukhriz yang didakwa tidak berdaya dalam politik, dan tidak mampu menjaga negeri selepas ditolak dua kali setelah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

Isham berkata, hari ini Mukhriz sekali lagi ditolak sebagai Menteri Besar selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR menarik balik sokongan dan menjadikan beliau tidak lagi mendapat majoriti dalam DUN Kedah.

“Jika Mukhriz tidak mampu untuk menjaga negerinya dan ditolak sebanyak dua kali setelah dilantik sebagai Menteri Besar, bagaimana dia berdaya untuk jadi Presiden Bersatu lantas Perdana Menteri Malaysia seperti yang dimahukan oleh ayahnya Tun Mahathir?

“Selama ini walaupun berkali-kali kalah dalam pemilihan parti, Mukhriz dibawa naik dan dilindung oleh ayahnya, Tun Mahathir. Namun, sampai bila Tun Mahathir ingin melindungi anaknya yang tidak berdaya dalam politik?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, kerajaan negeri Kedah di bawah Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Mukhriz goyah selepas dua ADUN PKR mengumumkan keluar parti dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat.

Ketika ini, PAS dan UMNO mempunyai 17 kerusi DUN Kedah dan tambahan dua kerusi PKR menjadikan jumlah dimiliki gabungan itu adalah 19 kerusi.

Jumlah itu sudah mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri baharu yang bakal menyaksikan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti.

Mengulas lanjut, Isham mengingatkan Dr Mahathir bahawa jawatan kerajaan bukanlah untuk diberi turun temurun seperti syarikat keluarga atau harta pusaka.

Katanya, sekali pun Dr Mahathir berusaha menaikkan Mukhriz, namun jika anaknya itu tidak berdaya mengurus politik dan mentadbir, akhirnya rakyat yang akan menjadi mangsa.

“Jika dia tidak mampu, tidak adil kepada rakyat dan negara untuk Tun memaksanya naik juga. Usahlah melawan takdir.

“Kepada Anwar Ibrahim pula, lebih baik anda lihat sahaja dua ADUN PKR tersebut menarik sokongan daripada Mukhriz dan biarkan sahaja Mukhriz jatuh, walaupun ADUN-ADUN ini adalah orang Azmin.

“Sebab jika Mukhriz naik, anda akan ditipu sekali lagi oleh Mahathir dan anda selamanya tidak akan jadi Perdana Menteri,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close