Berita Utama

Tindakan PH bukti politik negara di takuk lama, pentingkan kuasa

Rakyat tak mahu lagi krisis politik, urus demokrasi bukan hal mudah

BANGI, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Walaupun sesi Parlimen pada 18 Mei akan mengutamakan usul yang lebih mendesak terutama berkaitan krisis kemanusiaan dan kemelut impak COVID-19, namun pembangkang dilihat seolah-olah lebih memikirkan soal kuasa. 

Pakatan Harapan (PH) jelas mahu menggunakan sesi Parlimen sebagai pentas untuk mengembalikan jawatan Perdana Menteri dan hak memerintah yang didakwa dirampas oleh kerajaan semasa.

Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, tindakan PH adalah bukti bahawa politik negara masih pada takuk lama atau berlingkaran dalam normal lama yang mementingkan kuasa semata-mata. 

“Sampai bilakah kita mahu melihat politik itu hanya berkisar soal kuasa dan bukannya untuk kepentingan rakyat?

“Ketika krisis ini, mengurus demokrasi bukan suatu hal yang mudah. Lebih-lebih lagi, tindakan politik khususnya dalam kalangan pemimpin yang masih tidak peka dan gagal memahami keutamaan.

“Jika selama ini ahli politik sering menggunakan alasan tindakan mereka bersandarkan kemahuan dan kepentingan rakyat, sudah tiba masanya rakyat bersuara menyatakan apa sebenarnya kemahuan mereka ketika ini,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan BHOnline, hari ini.

Beliau menegaskan, rakyat perlu menyampaikan mesej kepada ahli politik bahawa mereka tidak mahu lagi berhadapan dengan satu lagi krisis politik, kerana COVID-19 telah mengajar erti perjuangan kehidupan yang sangat getir.

“Berdasarkan satu analogi dalam demokrasi, saya yakin jika rakyat ketika ini diberikan pilihan sama ada diberi roti (makan untuk survival) dan undi (mandat untuk kerajaan baharu), mereka akan memilih roti.

“Seperti dalam perkara lain, kita berharap politik Malaysia juga perlu keluar daripada normal lama, iaitu kepentingan hak dan kuasa kepada normal baharu, iaitu tanggungjawab dan amanah.

“Semoga hari yang berbaki dalam Ramadan ini memberi keinsafan kepada kita untuk melihat kehidupan dengan lebih rasa syukur dan hati yang bersih. Demi sebuah demokrasi yang Islami,” katanya.

Kemelut politik makin meruncing apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof telah menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Sebelum ini, Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mereka tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Muhyiddin kerana mendakwa ia tidak mendapat mandat rakyat.

Kedua-duanya menyatakan prinsip mereka jelas dari hari pertama kerajaan PN ditubuhkan, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button