Berita Utama

Tun M dakwa Melayu takkan hancur kerana DAP

Orang Melayu sekarang bacul pilih penyangak sebagai pemimpin

BANGI, 19 Ramadan 1441H, Selasa – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, orang Melayu sekarang menjadi bacul kerana takut dengan DAP, sehingga sanggup memilih penyangak sebagai pemimpin.

Dalam tulisan di chedet.cc hari ini, Dr Mahathir berkata, beliau malu apabila ramai Melayu percaya DAP – parti rasis dan cauvinis – akan menghancurkan bangsa berkenaan sekiranya berada dalam kerajaan Malaysia.

Dakwanya, banyak peristiwa menunjukkan orang Melayu tidak mudah dihancurkan, namun menyifatkan bangsa itu boleh hancur kerana membenarkan penyangak menjadi pemimpin.

“Pemimpin seperti ini walaupun Melayu akan hancurkan orang Melayu. Kita tubuh sebuah parti Melayu untuk memperjuang nasib orang Melayu. Parti ini berjaya, berjaya kalahkan British, capai kemerdekaan, bangun negara sehingga menjadi Harimau Asia.

“Parti ini tidak pernah kalah. Tetapi pada 9 Mei 2018, parti ini kalah. Kenapa? Kerana parti bertuah ini mendapat penyamun sebagai pemimpin,” dakwanya.

Merujuk parti lamanya dahulu iaitu UMNO, Dr Mahathir mendakwa, parti berkenaan hancur kerana ahlinya sedia disogok dan tidak utamakan perjuangan orang Melayu.

“Maka dimomok orang Melayu sehingga ada yang begitu takut kepada DAP. Orang Melayu dan pemerintahan Melayu yang berani melawan British, kuasa-kuasa besar IMF dan Bank Dunia sekarang takut kepada DAP, takut dihancur oleh DAP.

“Takut kepada Guan Eng. Orang Melayu takut kepada Guan Eng. Dari mana datang bacul ini. Nak dapat perlindungan dari siapa? Dari Najib? Dari kerajaan Melayu Islam pimpinan penyangak?,” soalnya.

Beliau turut mempertahankan DAP dan menganggap parti tamak haloba berkenaan tidak mungkin menghancurkan orang Melayu, tetapi Melayu akan hancur kerana memilih penyangak.

“Pemuda Melayu dahulu lawan dengan British. Tak takut. Pemuda yang sokong Najib ini mencari perlindungan dari Najib. Sudah jadi baculkah? Saya malu. Amat malu.

“Rupa-rupanya ada orang Melayu yang begitu takut kepada DAP sehingga sanggup mengkhianati rakyat yang beri mandat kepada mereka,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close