Berita Utama

Aidilfitri: Tidak boleh rentas daerah di Pahang

Larangan dibuat susulan sukar pantau orang ramai ikut SOP

BANGI, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang ketika sambutan Aidilfitri pada hujung bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, larangan itu dibuat susulan kesukaran memantau orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang ditetapkan pihak kerajaan.

“Aktiviti ziarah Aidilfitri antara daerah dengan daerah tidak benarkan sama sekali kerana ia membabitkan jarak jauh, ziarah yang terbaik adalah dalam satu taman kerana kita pasti mengetahui status jangkitan COVID-19 di kawasan taman terbabit.

“Kita bimbang jika ziarah rentas daerah dilakukan ia boleh mengundang penularan jangkitan wabak COVID-19 memandangkan kita tidak mengetahui tahap atau status kesihatan individu yang datang berkunjung rumah,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau bagaimanapun berkata, aktiviti ziarah Aidilfitri di rumah jiran dalam kawasan taman perumahan sama dibenarkan dengan mengawal kunjungan tetamu supaya tidak terlalu ramai.

“Kali ini masyarakat perlu menerima hakikat bahawa sambutan Aidilfitri tidak semeriah sebelum ini kerana kita sedang berdepan dengan wabak yang belum selesai,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah terhadap jiran terdekat dan keluarga dalam negeri yang sama, dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran itu diberikan kepada rakyat yang menyambut tiga perayaan sepanjang PKPB berkuat kuasa hingga 9 Jun ini, iaitu Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button