Berita Utama

Tubuh jawatankuasa khas tangani isu murid berhenti sekolah

Tak boleh pandang mudah, ini libat pewaris anak bangsa

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 1 Jamadilawal 1443H, IsninJawatankuasa khas perlu ditubuhkan segera bagi mencari jalan penyelesaian berhubung masalah murid berhenti sekolah yang mencetuskan kebimbangan.

Media melaporkan, 21,316 murid dicatatkan berhenti sekolah sejak bulan Mac tahun 2020, sesuatu yang wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak terutamanya kerajaan Pusat.

Atas dasar itu, Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad menggesa, pelan tindakan strategik dibentuk bagi mengawal masalah keciciran yang bakal wujud kesan daripada pemberhentian berkenaan.

“Kita mahukan jawatankuasa khas ditubuhkan segera bagi mengatasi isu ini yang tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak terutama Kementerian Pendidikan (KPM).

“Walaupun melibatkan peratusan yang kecil iaitu 0.02 peratusan sahaja namun hakikatnya memberi kesan yang besar kepada negara.

“Kita tidak boleh pandang mudah memandangkan ini melibatkan pewaris anak bangsa kita sendiri, bayangkan anak yang terbiar itu sekiranya dididik dengan sempurna tidak mustahil akan menjadi pemimpin dan pewaris yang berperanan dalam pembentukan negara di masa akan datang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Tambah beliau lagi, penyertaan kepada jawatankuasa tidak seharusnya dihadkan kepada pegawai dari KPM semata-mata, tetapi perlu disertai oleh persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga wakil jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Tegas beliau, membawa masuk JKKK dalam penubuhan jawatankuasa dilihat penting sebagai berperanan menjadi orang tengah yang boleh memberi maklumat sebenar kepada punca permasalahan ini.

“Tidak dinafikan COVID-19 memberi kesan yang besar dari sudut ekonomi keluarga, jadi disitulah peranan JKKK yang merupakan individu penting yang boleh menyampaikan maklumat status keluarga berkenaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button