Berita Utama

Ismail Sabri diminta tegur sikap ‘membisu’ KP Imigresen

Puas hati tindakan kerajaan banteras PATI, tapi mahu tahu status 'kehilangan' 100,000 pelancong China dan India

BANGI, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta menggesa Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia memberi penjelasan berhubung isu pelancong China dan India yang dilaporkan tiada rekod keluar dari negara ini.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari berkata, pihaknya tidak pernah mengkritik tindakan kerajaan membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI), sebaliknya berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami berpuas hati. Tetapi kami tak puas hati dengan Ketua Pengarah JIM yang mendiamkan diri mengenai ‘kehilangan’ 100,000 pelancong China dan India. Kami persoal, ke mana perginya 100,000 pelancong China dan India?

“Harap YB Menteri Pertahanan faham dan mungkin boleh ‘jentik’ sedikit telinga Ketua Pengarah JIM supaya jangan memalukan Kerajaan Malaysia,” katanya menerusi akaun Facebook hari ini.

Cikgu Izzat sebelum ini menuntut kenyataan rasmi Ketua Pengarah JIM berhubung ‘misteri’ jumlah pelancong dari dua negara berkenaan yang dilaporkan tiada rekod keluar dari Malaysia.

Beliau turut menuntut pihak Jabatan Imigresen mengeluarkan semua 100,000 data berserta gambar pelancong terbabit bagi memudahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan serta menahan mereka.

“Bagaimanapun, ini satu isu yang serius dan wajar dihukum sekeras-kerasnya kepada dalang atau orang tengah ini. Oleh demikian, kepada Ketua Pengarah JIM, kami rakyat Malaysia masih menunggu respon balas terhadap permintaan kami ini,” katanya.

Dalam laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

Selain itu, dilaporkan juga wujud kelemahan dalaman yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dab MyIMMs ketika proses di pintu masuk pelancong.

“Pihak audit berpendapat pengurusan Jabatan Imigresen dan kawalan dalam di pintu masuk kurang cekap kerana pengesahan data kemasukan pelancong secara manual dan ‘offline’ tidak dikemaskini.

“Keadaan itu mengakibatkan data apungan sebanyak 1.56 juta dalam tempoh 2016 sehingga 2018,” kata laporan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button