Berita Utama

Johor benar solat Jumaat, sunat Aidilfitri tapi had 12 orang saja

Jemaah babitkan imam, bilal, noja dan ahli jawatankuasa bergilir

JOHOR BAHRU, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, solat sunat Aidilfitri dan akad nikah juga dibenarkan.

Pun begitu, pelaksanaannya perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

“Pelaksanaan solat Jumaat bermula 15 Mei ini. Bagi solat sunat Aidilfitri hanya dihadkan 12 jemaah melibatkan imam, bilal, noja dan ahli jawatankuasa yang digilirkan.

“Kaedah menetapkan 12 jemaah bagi solat Jumaat adalah mengikut pendapat sebahagian ulama mazhab as-Syafie yang menyebut bahawa sah Jumaat oleh 12 orang sahaja tanpa perlu diulangi dengan solat Zohor,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Tosrin menjelaskan, bagi memastikan hanya 12 jemaah hadir, pihaknya akan meminta pihak keselamatan untuk melakukan pemantauan di masjid dan surau yang dibenar mengadakan solat Jumaat ketika PKPB.

Pihaknya bimbang jika ada warga asing atau penduduk yang tidak memahami syarat pelaksanaan terbabit.

“Pihak jawatankuasa pada peringkat daerah akan memastikan ada pengawasan rapi. Apabila dibenarkan solat sunat Aidilfitri walaupun dihadkan kepada 12 orang, kita bimbang ada penduduk tempatan yang ke masjid. Kita akan memastikan ini tidak berlaku.

“Jika perkara itu berlaku, solat sunat pada hari berkenaan tidak akan dibenarkan di masjid terbabit saja,” katanya.

Sementara itu, menjelaskan berkenaan proses akad nikah yang dibenarkan bermula 17 Mei ini pula, beliau berkata, ia perlu mematuhi Pekeliling Pengurusan Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Johor Sepanjang Tempoh PKPB yang telah dikeluarkan.

Proses akad nikah itu tidak boleh melebihi enam orang termasuk pengantin, wali dan saksi, tegasnya.

“Jumlah perkahwinan dijangka dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB ini melibatkan seramai 872 pasangan membabitkan daerah sama, daerah berlainan dan negeri berlainan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, majlis resepsi pengantin masih tidak dibenarkan kerana melibatkan perhimpunan orang ramai yang bercanggah dengan pelaksanaan PKPB.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close