Berita Utama

Kerajaan kena bertindak drastik tangani lambakan warga China

Sindiket penipuan dalam talian hanya sebahagian aktiviti kecil

Oleh Siti Hafidah Abdul Ghaffar

BANGI, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa melakukan operasi khusus bagi menahan warga China yang tinggal melebihi tempoh ditetapkan di negara ini.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan menyifatkan, kehadiran pelancong China yang dilaporkan tiada rekod keluar dari Malaysia bukan sahaja menganggu keadaan sosial bahkan memberi gangguan kepada keselamatan negara.

“Justeru, KDN perlu ambil tindakan drastik berhubung perkara ini kerana bagi saya, rakyat berasa gusar dengan apa yang berlaku sekarang.

“Serbuan yang dilakukan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) perlu dilakukan untuk menahan mereka namun ditumpukan tempat warga China berada.

“Dan bagi saya semua orang tahu di mana keberadaan mereka terutamanya Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen). Imigresen tahu kepadatan penduduk PATI China ini dan boleh jadi dari syarikatnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berpandangan bahawa aktiviti yang dilakukan warga China ini lebih daripada sindiket penipuan dalam talian.

“Bagi saya ianya sebahagian kecil sahaja. Jadi perlu diluaskan lagi aktiviti serbuan ini mencakupi luar daripada penipuan dalam talian.

“Seperti di Amerika Syarikat sekarang ini ada satu operasi mencari orang masuk Mexico secara tidak sah. Oleh itu, perlu ada cara tersusun dalam hal ini,” katanya.

Pada 28 April lalu, seramai 30 individu warga China ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di sebuah unit kondominium di Bandar Mahkota Cheras, Kajang.

Sehari selepas itu, polis menahan 44 warga China termasuk lapan wanita selepas menyerbu empat rumah banglo dipercayai menjadi lokasi aktiviti perjudian dalam talian, di Nilai, Negeri Sembilan.

Sebelum ini, negara pernah dikejutkan dengan penangkapan 680 warga China yang aktif menjalankan aktiviti sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar di Cyberjaya.

Kemudian, 87 lagi ditahan di beberapa unit kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong juga menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati, tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lalu.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close