Berita Utama

Mukhriz dakwa dikhianati

Patut tumpu tangani COVID-19, bukan sibuk berpolitik

ALOR SETAR, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa, beliau berasa dikhianati ‘kawan-kawan’ di peringkat Pusat dan negeri.

Menteri Besar Kedah yang juga Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, pengkhianatan itu turut mengakibatkan kedudukannya kini tergugat.

Katanya, semua pihak sepatutnya menumpukan usaha menangani pandemik COVID-19, bukannya sibuk berpolitik, lebih-lebih lagi pada sambutan bulan Ramadan ketika ini.

“Biasalah perasaan bila dikhianati kawan-kawan, sebelum ini berlaku di Pusat dan sekarang di negeri. Nampaknya pengkhianatan berlaku macam-macam cara sejak 2020 ini.

“Ini bukan perkara baik untuk negara sebab kita sibuk COVID-19, apa sebabnya tindakan seperti ini perlu dilakukan ketika kita memberi tumpuan kepada rakyat, di sini dapat lihat siapa jaga rakyat?

“Ketika saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas, pembangkang sibuk membuat sidang media bagi menjatuhkan saya,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (empat), UMNO (dua) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan BEBAS (dua).

Mengulas laporan mengatakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU akan memecat beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada parti, Mukriz yang turut menyandang Timbalan Presiden berkata, perkara itu tidak boleh dilakukan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Mesyuarat MPT hanya boleh dipanggil oleh Pengerusi dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengiktiraf Tun Mahathir adalah Pengerusi BERSATU berdasarkan surat menyurat antara mereka.

“Jadi apabila Tun Mahathir tak panggil mesyuarat, macam mana orang lain boleh panggil. Ini yang terjadi apabila Setiausaha Agung anggap Perlembagaan parti tidak penting bagi dia,” katanya.

Pimpinan BERSATU Pusat dikatakan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pemecatan Dr Mahathir dan Mukhriz, namun ia dibatalkan selepas maklumat berkaitan pertemuan itu didedahkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button