Berita Utama

Negara perlu lebih masa nak pulih ekonomi, bergantung pada krisis

Faktor COVID-19, sektor pelancongan dijangka pulih awal 2022

BANGI, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Tsunami COVID-19 dijangka memerlukan masa lebih lama untuk dipulihkan kerana ‘memukul’ keseluruhan sektor ekonomi Malaysia dan keseluruhan ekonomi dunia, kata pakar ekonomi.

Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, struktur ekonomi perlu dibangunkan dan diperbetulkan, bagaimanapun semua ini tidak boleh dilakukan dalam tempoh masa sehari, sebulan atau setahun.

“Pemulihan ekonomi negara memakan tempoh masa lama bergantung bentuk krisis. Contohnya, krisis kewangan 1997/98 mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk dipulihkan,” katanya dalam terbitan rencana Berita Harian.

Selain itu katanya, perubahan landskap ekonomi global susulan pandemik COVID-19 turut mempengaruhi perancangan ekonomi dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Malaysia sebuah negara kecil, terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa. Lebih 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijana aktiviti eksport.

“Bagi kebanyakan negara yang berdagang, impak COVID-19 berkemungkinan menyebabkan peralihan hab rantaian nilai global dan pemerkasaan pengeluaran domestik. Jadi penumpuan eksport, arah dan struktur dagangan Malaysia sedia ada berkemungkinan besar akan terjejas.

“Bahkan perubahan struktur pasaran buruh sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Peningkatan penggunaan aplikasi digital contohnya mempengaruhi cara, tempat dan tempoh masa bekerja. Ini akan mempengaruhi struktur pengeluaran industri dan perniagaan,” katanya.

Dr Yusof berkata, sejauh mana perubahan ini mempengaruhi produktiviti dan pendapatan masih belum jelas.

Katanya, sumber penjanaan pendapatan rakyat juga akan berubah yang seterusnya akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi melalui perubahan corak perbelanjaan.

“Sebahagian sektor utama ekonomi negara terjejas teruk dan mengambil masa lebih lama untuk dipulihkan. Contohnya sektor pelancongan.

“Jika Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) mengambil masa sekitar tujuh bulan untuk sektor pelancongan dipulihkan, COVID-19 dijangka pulih sepenuhnya awal 2022, bergantung juga kepada keyakinan pelancong,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button