Berita UtamaPendapat

Orang Melayu atau Dr M bacul?

Dr M hanya terdiam bila Kit Siang kecam tubuh kerajaan perpaduan

DALAM tulisan terbaharu beliau bertajuk “DAP Hancur Melayu”, dua kali Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan istilah “Melayu bacul” kerana mereka dikatakan “begitu takut kepada DAP”.

Pada hemat saya, salah besar apabila Dr Mahathir menggunakan istilah “Melayu bacul” kerana Melayu sebenarnya amat berani melawan bagi memastikan DAP tersungkur di negara ini.

Yang mungkin lebih layak digelar “bacul” adalah Dr Mahathir sendiri, di mana 10 contoh mudah kebaculan Tun Dr Mahathir di dalam berhadapan dengan DAP adalah seperti berikut:

(1)Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), tersebar dengan meluas rakaman video Hew Kuan Yau yang menyebut “Mahathir ialah orang jahat, Mahathir memang jahat dari berdekad-dekad dulu, ini pok kai memang banyak rasuah, (tetapi) Mahathir sudah 92 tahun, Lim Kit Siang hanya umur 75 tahun, sila fikir sendiri siapa guna siapa”,

Juga rakaman video Nga Kor Ming yang menyebut “Lee Kuan Yew umur 91 tahun pun dah naik syurga main mahjung, tapi selalu kurang satu pemain, dia nak bawak “kawan lama” dia (Mahathir) dekat atas, orang tu (Mahathir) pulak tak sanggup naik, sebab ada satu benda lagi tak siap, kena potong Najib dulu, jadi kita kena tolong orang tua ni (Mahathir), lepas dia dah siap benda ni mungkin lepas tu “goodbye my love, kekasihku selamat tinggal”, tetapi Dr Mahathir tidak pernah berkata apa-apa mengenai penghinaan ke atas diri beliau ini.

(2)Bila Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU14, bila ditanya oleh wartawan apakah wajar Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan memandangkan waktu itu Lim Guan Eng menghadapi pertuduhan jenayah rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Dr Mahathir menyebut Lim Guan Eng dinamakan sebagai Menteri Kewangan tetapi belum angkat sumpah, dia bukan lagi menjadi Menteri sebelum dia angkat sumpah.

Kita kena clear that every Minister appointed mestilah orang yang layak jadi Minister, kalau ada kes kita tak boleh lantik”, tetapi Tun Dr Mahathir tetap juga melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan walaupun beliau hanya dilepaskan pada 3 September 2018.

(3) Pada 3 Ogos 2019, Dr Mahathir menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk memperkenalkan pengajaran tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat adalah muktamad, tetapi bila para pemimpin DAP seperti Dr P Ramasamy, Ronnie Liu Tian Khiew, Anthony Loke dan Chong Chieng Jen beramai-ramai mendesak supaya ia dikaji semula, terus Dr Mahathir membenarkan ia diubah.

(4) Dr Mahathir pada 12 dan 13 Ogos 2019 menyifatkan Dong Zong, disebabkan tentangannya kepada tulisan jawi, sebagai rasis.

Beliau turut menyifatkan apa yang dilakukan oleh Dong Zong sebagai melanggar undang-undang dan memberikan kebenaran kepada pihak berkuasa untuk mempertimbangkan supaya Dong Zong diharamkan.

Tetapi bila para pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang, Dr P Ramasamy, Ramkarpal Singh, Ronnie Liu Tian Khiew, Teo Nie Ching, Charles Santiago, Dr Kelvin Yii dan Dr Boo Cheng Hau, beramai-ramai membela Dong Zong terus Tun Dr Mahathir terdiam tanpa berkata apa-apa.

(5) Dr Mahathir dalam amanat beliau di Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 sendiri mengakui “apabila kita berlawan sesama kita maka terpaksalah kita bergantung kepada orang lain untuk mendapat kemenangan, apabila kita bergantung kepada orang lain sedikit sebanyak kita terhutang budi kepada mereka dan KITA TAKUT kalaulah kita tidak dapat sokongan mereka, maka kita tidak akan dapat tempat bagi diri kita, dengan sendirinya kita sudah gadaikan kuasa yang diberi kepada kita.”

(6) Dr Mahathir dalam amanat beliau di Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 sendiri menyebut “Saya nak mengaku di sini bahawa kerajaan walaupun dipimpin oleh orang Melayu tidak sekuat kemelayuannya sekarang, kalau dahulu kita boleh harap kerana kerajaan dipimpin oleh orang Melayu memang kuat, sekarang ini tidak kuat, tidak kuat kerana nak tak nak pun KITA KENA AMBIL KIRA PERASAAN ORANG LAIN, kalau kita tak ambil kira maka datang pilihan raya kita akan kalah.”

(7) Dr Mahathir dalam amanat beliau di Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 menyebut: “Kita harus ingat bahawa dahulu Semenanjung ini adalah milik orang Melayu, dia dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu, itulah nama Semenanjung ini, tetapi hari ini kita dapati kita terpaksa kongsi dengan orang lain,”

Tetapi apabila para pemimpin DAP seperti Ramkarpal Singh dan Dr P Ramasamy beramai-ramai mengecam ucapan sama oleh Datuk Prof Dr Zainal Kling bahawa Malaysia adalah milik orang Melayu terus Dr Mahathir terdiam tanpa berkata apa-apa.

(8) Dr Mahathir dalam amanat beliau di Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 menyebut: “Di zaman belum kita merdeka, pihak British yang memerintah negara kita pada masa itu membawa masuk orang asing dengan ramainya dan Raja-Raja kita berpendapat bahawa mereka ini adalah orang asing dan apabila habis tugas mereka, mereka akan kembali ke tanah air mereka, tetapi ini tidak jadi kenyataan, orang asing berasa selesa dengan negara kita dan mereka ingin tinggal di sini, nak tak nak pun kita terpaksa terima,”

Tetapi bila para pemimpin DAP seperti Ramkarpal Singh, Ronnie Liu Tian Khiew dan Mohan Ramasamy beramai-ramai mengecam beliau kerana menggunakan istilah “orang asing” ini, termasuk dengan menyebut “bapak rasis” dan “lain kali tolong pakai otak sebelum membuka mulut”, terus Dr Mahathir terdiam tanpa berkata apa-apa.

(9) Antara resolusi yang diluluskan oleh Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 adalah untuk mewujudkan satu sistem persekolahan sahaja, dan ini adalah selari dengan kenyataan Dr Mahathir pada 28 Jun 2018, bahawa beliau berharap untuk melihat wujudnya satu sistem persekolahan sahaja dan kenyataan beliau pada 25 Oktober 2018 bahawa sekolah-sekolah Cina dan Tamil adalah penghalang kepada perpaduan nasional.

Tetapi bila para pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang, Ronnie Liu Tian Khiew dan Ganabatirau Veraman beramai-ramai menghentam resolusi yang diluluskan oleh Kongres Maruah Melayu ini terus Dr Mahathir terdiam tanpa berkata apa-apa.

(10) Dr Mahathir pada 25 Februari 2020, selaku Perdana Menteri interim, mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan, tetapi bila Lim Kit Siang dua hari kemudiannya menyifatkan adalah bodoh dan berfikiran singkat untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan terus Tun Dr Mahathir terdiam tanpa berkata apa-apa.

Tulisan Dr Mahathir boleh dibaca di sini:
https://www.facebook.com/12411993651/posts/10157361019858652/

Nota: Siapa yang faham mengapa Dr Mahathir terus-terusan menyebut mengenai “Orang Melayu mempunyai banyak kelemahan”, “Orang Melayu tidak berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan”, “Ramai juga orang Melayu yang miskin, yang terlibat dengan dadah, jenayah-jenayah tertentu dan rasuah” serta “Dalam penjara pun terdapat ramai banduan Melayu”.

Tetapi, bila kaum-kaum lain di negara ini pun ramai juga yang turut menghadapi masalah yang sama?

Dr Kamarul Yusoff

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close