Berita Utama

Politik negara kena berubah, jangan lagi bergantung harap pada Tun M

Beri peluang kepada anak muda berkaliber sumbang buah fikiran

BANGI, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Rakyat harus berani membentuk semula politik negara dengan tidak bertumpu lagi pada kisah seteru Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gesa Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti BERJASA, Hazwan Mohamad.

Gesanya, rakyat perlu bangkit untuk membina sebuah ketamadunan politik watan yang berteraskan citra tanah air yang sebenar iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, Melayu sebagai tonggak pemerintahan dan institusi Raja-Raja sebagai menjamin kedaulatan tanah air.

“Kita perlu berubah! Tidak sepatutnya lagi negara Malaysia yang kita cintai ini bergantung harap pada susuk tubuh ahli politik bernama Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

“Cuba bayangkan, rakan seusia saya, mendengar drama perseteruan politik antara dua nama ini sejak di bangku tadika lagi. Sehinggalah sekarang, sudah beranak-pinak pun masih lagi dibayangi dengan sosok tubuh ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa gesaan berkenaan bukan mahu menafikan jasa dan kebaikan yang pernah ditabur mewarnai citra politik Malaysia puluhan tahun lamanya ini.

“Namun, saya mengharapkan agar diberi ruang serta peluang untuk ramai lagi anak muda yang berkaliber, bercita-cita murni dan profesional yang boleh menyumbang buah fikiran dan tenaga mencorak sebuah citra politik yang baharu buat tanah air tercinta,” katanya.

Kemelut politik makin meruncing apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof telah menerima usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Sebelum ini, Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mereka tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Muhyiddin kerana mendakwa ia tidak mendapat mandat rakyat.

Kedua-duanya menyatakan prinsip mereka jelas dari hari pertama kerajaan PN ditubuhkan, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

Dalam pada itu, Hazwan berkata, Malaysia bukan sahaja perlu untuk membuka semula ekonominya, tetapi perlu juga mengambil langkah proaktif untuk menetap semula pemfokusan perancangan ekonomi yang boleh membawa negara kepada kemandirian ekonomi susulan pandemik COVID-19.

Jelas beliau, kemandirian ekonomi sesebuah negara bermaksud, rakyat mampu untuk mendepani cabaran ekonomi global dalam keadaan kita bersedia lebih awal berbanding hanya mengamalkan sikap bertahan semata-mata.

“Salah satu sektor ekonomi yang amat perlu diberi penekanan adalah sektor pertanian. Sektor ini juga berkait rapat dengan isu jaminan bekalan makanan yang dijangka menjadi isu kritikal khususnya dalam berdepan dengan krisis.

“Amerika Syarikat dilaporkan mengumumkan RM83.03 billion bagi membantu industri pertanian negara itu yang terjejas akibat COVID-19. Negara jiran kita Singapura pula telah lama melaksanakan projek simpanan stok makanan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button