Berita UtamaPendapat

Sejarah tercipta kita menang di Laut China Selatan

Berjaya manfaatkan imbangan ancaman 2 kuasa besar China, AS

1. ALHAMDULILLAH! Terkini khabar gembira buat seluruh rakyat Malaysia: sejarah tercipta apabila para perwira kita baru sahaja menyempurnakan misi ekplorasi di Blok ND2, Lala-1 di Laut China Selatan meski pun diasak hebat kapal-kapal China Komunis sejak lebih lima bulan lalu.

2. Data Marine Traffic menunjukkan bahawa kapal West Capella yang dikontrak Petronas bagi ‘exploratory drilling’ telah menyempurnakan misi mereka di Blok Lala-1, dua bulan selepas menyempurnakan misi sama di Blok ND1, Arapaima-1 pada awal Mac 2020 yang lalu.

3. Meski pun tidak didendang, kemenangan ini cukup bersejarah dan signifikan dalam tiga konteks: pertama, ia membuktikan kejayaan kerjasama erat angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dan juga Petronas dalam mempertahankan kepentingan nasional dan kedaulatan kita di Laut China Selatan.

4. Kesepaduan antara TLDM, Maritim Malaysia, dan Petronas ini terbukti melalui kerahan aset-aset yang saling melindungi kapal West Capella seperti KD Jebat, KD Kelantan, KM Bagan Datuk, dan juga KA Bunga Mas Lima.

5. Perlu diingat, TLDM, Maritim Malaysia, dan Petronas terpaksa berhadapan dengan China yang mengirim kapal raksasa sebesar 4,000-tan iaitu Zhaoduan-class 5305, kapal pengawal pantai (CCG) Haijing 5202 dan 5203, kapal pemusnah Type 052B Wuhan (169) untuk menghancurkan usaha kita di kedua-dua Blok Arapaima-1 dan Lala-1 ini.

6. Kedua, kejayaan ini cukup bersejarah kerana ia membuktikan bahawa kita berjaya memanfaatkan imbangan ancaman (balance of threat) antara dua kuasa besar iaitu China yang menceroboh dan mengganggu usaha eksplorasi kita dengan Amerika Syarikat yang sememangnya ingin mengekalkan kepentingan mereka di Indo-Pasifik.

7. Kita jelas memanfaatkan imbangan ancaman (balance of threat) China dengan Amerika Syarikat yang telah mengerahkan angkatan armada mereka iaitu Kapal Penyerang Amfibia (LHA 6), USS America, kapal ‘guided-missile cruiser’ USS Bunker Hill (CG52), ‘guided-missile destroyer’ USS Barry-DDG 52 pada April, diikuti kapal Littoral Combat Ship USS Montgomery (LCS 8) dan kapal ‘dry cargo’ USNS Cesar Chavez (T-AKE 14) kelas Lewis dan Clark pada Mei.

8. Lebih signifikan lagi, kita berjaya menyempurnakan misi ekplorasi di kedua-dua blok ND1 (Arapaima-1) dan ND2 (Lala-1) ini dalam keadaan kita tidak memusnahkan kepentingan ekonomi dan diplomatik kita dengan kedua-dua Amerika dan China.

9. Wajib untuk disedari bahawa dalam keadaan ekonomi kita secara signifikan bergantung pada eksport dan pelaburan ke kedua-dua China dan Amerika (sekitar RM140 bilion dengan China, hampir RM100 bilion dengan Amerika), serta ketidaktentuan pasca-COVID-19, sempurnanya misi eksplorasi Petronas di Laut China Selatan ini membuktikan bahawa kita telah berjaya mempertahankan kedaulatan wilayah, kepentingan nasional serta prospek geo-ekonomi kita.

10. Kejayaan hari ini cukup signifikan untuk prospek tiga perkara: dari segi perundangan antarabangsa, ia memberi impak signifikan dengan menguatkan tuntutan Pentas Benua kita; dari segi eksplorasi di Laut China Selatan pula, ia membuktikan bahawa Petronas benar-benar menyumbang secara positif ke atas geopolitik dan geoekonomi kita, manakala buat angkatan tentera kita pula ia memberikan pengalaman imbangan ancaman (Balance of Threat) dan imbangan kuasa (Balance of Power) antara kuasa besar di Indo-Pasifik.

11. Sesungguhnya, tarikh hari 12 Mei 2020 merupakan tarikh yang cukup bermakna dalam sejarah geopolitik dan geoekonomi kita.

Semoga Allah terus rahmatkan TLDM, Maritim Malaysia, dan Petronas: kalian perwira seluruh rakyat Malaysia!

Abdul Muein Abadi
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net. Artikel ini pertama kali disiarkan di Facebook penulis.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close