Berita Utama

Situasi di Kedah bukti kerjasama PN kuat, PH makin lemah

Pelantikan Muhyiddin sebagai PM sah dapat perkenan Agong

BANGI, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah sah dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, kata Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad.

Beliau berkata, pelantikan Muhyiddin adalah melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Katanya, PAS menyakini bahawa Muhyiddin mempunyai sokongan penuh daripada parti gabungan yang membentuk Perikatan Nasional (PN) termasuk pemimpin dan ahli akar umbi untuk terus memimpin negara.

“PAS mendukung penuh kepimpinan Muhyiddin untuk terus menerajui pentadbiran negara sehingga Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemelut politik makin meruncing apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof telah menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Usul berkenaan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Sebelum ini, Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan mereka tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Muhyiddin kerana mendakwa ia tidak mendapat mandat rakyat.

Kedua-duanya menyatakan prinsip mereka jelas dari hari pertama kerajaan PN ditubuhkan, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, kenyataan sebahagian pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mempertikai kesahihan kerajaan diterajui Muhyiddin adalah tidak wajar selain mempertikaikan keputusan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Malah, katanya, perkembangan yang berlaku di Kedah, yakni dua anggota PKR keluar dari parti itu telah membuktikan bahawa kerjasama PN semakin kuat dan diterima baik oleh rakyat, manakala PH pula semakin lemah.

“Perdana Menteri selaku tonggak negara dan barisan menteri Kabinet serta pegawai kerajaan yang berdedikasi telah dan terus komited untuk menjaga kepentingan kesihatan dan ekonomi rakyat bagi menghadapi situasi genting wabak pandemic COVID-19 yang sedang melanda.

“PAS komited mendukung kepimpinan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan memperjuangkan Perlembagaan negara seperti menghormati kesucian agama Islam.

“Ia termasuk hak bangsa Melayu dan Bumiputera, memelihara institusi Raja Berpelembagaan dan terus memperkukuhkan hubungan antara kaum,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button