Berita Utama

Tarikh akhir mohon GKP Jumaat ini

Bayaran permohonan lulus dijangka pada hujung bulan Jun

BANGI, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan bahawa tarikh akhir permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) adalah pada 15 Mei ini.

Sehubungan itu, LHDN meminta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan untuk mengisi borang permohonan dengan segera dan tidak menunggu sehingga tarikh akhir tersebut.

“Permohonan hanya boleh dibuat secara dalam talian di portal GKP yang disediakan oleh LHDN iaitu https://gkp.hasil.gov.my/. Permohonan secara manual tidak akan diterima.

“LHDN akan memproses semua permohonan selepas 15 Mei dan pemohon GKP boleh membuat semakan status permohonan bermula pada minggu pertama bulan depan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

LHDN turut memaklumkan bagi permohonan yang lulus, bayaran GKP dijangka dibuat pada hujung bulan depan.

“PKS mikro boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) GKP yang dimuat naik pada portal rasmi GKP untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

GKP diwujudkan oleh kerajaan sebagai satu inisiatif bagi membantu syarikat PKS mikro dalam aliran tunai perniagaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Geran khas sebanyak RM3,000 disediakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN PKS) kepada setiap syarikat PKS mikro yang layak dan dijangka memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button