Tiada sidang Dewan Rakyat 18 Mei, hanya ada Titah Diraja
Persidangan dipinda kerana COVID-19 masih belum reda

BANGI, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung 18 Mei ini hanya akan menyaksikan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Speaker Mohamad Ariff Md Yusof berkata beliau menerima surat daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, memaklumkan keputusan itu disebabkan penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.
“Pihak Kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung selama satu hari itu pada Isnin, 18 Mei 2020 dipinda dengan urusan Majlis Mesyuarat seperti berikut:
“Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Isnin 18 Mei 2020, jam 10.00 pagi – Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang serentak; dan tiada sidang selepas Titah Diraja,” katanya.
Pindaan itu dibuat selaras dengan Peraturan 11(2) dan 15(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Justeru, katanya, semua Ahli Parlimen akan dimaklumkan menerusi Notis Baru Majlis Persidangan Dewan Rakyat Bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 Tahun 2020 kepada semua Ahli-Ahli Dewan yang akan disampaikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat.