Berita UtamaIstimewa

Tun, insaflah… jangan sampai dikenang pengkhianat bangsa

Terlalu banyak jika nak senarai DAP parti yang rosakkan negara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Ramadan 1441H, Rabu – Tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu dengan tuduhan dan hujah yang cetek dan tidak berasas, amat mengejutkan.

Meskipun menghina Melayu bukan perkara yang asing bagi tokoh negara berusia 95 tahun itu, namun tindakan beliau sukar diterima kerana ditulis seiring dengan membela parti yang dahulunya pernah digelar rasis – DAP.

Beliau yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia dua kali menuduh orang Melayu takut pada parti tamak haloba – kononnya akan menghancurkan Melayu, kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Bagi saya, tuduhan ini adalah sangat tidak benar dan menyimpang. Ini bukan kali pertama, kedua atau ketiga Tun M memfitnah dan menghina orang Melayu. 

“Hakikat sebenarnya ialah orang Melayu tidak takut pada DAP, tetapi benci kepada DAP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Dr Mahathir juga seakan-akan ‘lupa’ dengan kata-katanya sendiri, ketika beliau menjadi Perdana Menteri sejak tahun 1981 lagi di mana beliau melabelkan DAP sebagai sebuah parti rasis, cauvinis dan sebagainya yang akan merosakkan negara dan orang Melayu secara khususnya. 

Aminuddin berkata, secara tiba-tiba, apa yang diperkatakan tokoh itu selama puluhan tahun itu berubah pula dalam sekelip mata hanya kerana perkelahian dengan seteru politik sahaja.

“Sebenarnya, jika mahu disenaraikan bukti bahawa DAP adalah sebuah parti yang merosakkan negara dan khususnya orang Melayu memang terlalu banyak. Tidak cukupkah pemerintahan 22 bulan mereka? 

“Saya ambil satu contoh sahaja, seruan DAP iaitu ‘Malaysian Malaysia’ sudah cukup membuktikan bahawa mereka mahu menghapuskan Melayu sebagai identiti dan sejarah negara dan seolah-olah di Malaysia ini tiada lagi bangsa dan kaum tetapi hanya ‘Malaysian’ sahaja. 

“Sedangkan sejarahnya, ini adalah Tanah Melayu yang berdaulat serta Islam merupakan agama negara. Malah, DAP sendiri adalah penentang kuat kepada falsafah dan status Malaysia Negara Islam,” katanya.

Meluahkan rasa hairan dengan perbuatan Dr Mahathir, Aminuddin berkata, beliau tidak pasti sama ada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu memang tidak nampak akan hakikat perjuangan DAP ini. 

“Bak kata sesetengah orang, jika masih ada orang Melayu yang tidak nampak lagi akan kefasadan pemikiran dan visi DAP yang sudah terang lagi bersuluh melalui segala apa yang mereka ucapkan, lakukan dan perjuangkan selama ini, maka mungkin hatinya sudah buta dan gelap. 

“Namun, saya yakin bahawa Tun bukanlah orang yang dimaksudkan ini tetapi mungkin kerana kegagalan Tun mencapai hasrat dan cita-citanya maka Tun menjadi marah dan hilang pertimbangan sebegini.

“… sehingga sanggup bekerjasama dengan DAP, ‘memuliakan’ mereka dan akhirnya menghina bangsa Melayu. Bagi saya, ini sesuatu yang cukup luar biasa dan malang sekali,” katanya lagi.

Mengulas berkenaan kerajaan baharu yang tidak ‘diiktiraf’ Dr Mahathir dan sekutunya ketika ini, Aminuddin berkata, beliau tidak menafikan kerajaan Perikatan Nasional ini tidak sempurna, dan masih terdapat banyak kekurangan yang harus diperbaiki.

Namun, kekurangan yang ada pada pemimpin Melayu, tidak bermakna negara ini boleh terus menerima sebuah organisasi yang sejak sekian lama lagi, malah sejak peristiwa 13 Mei lagi yang tidak berputus asa menegakkan cita-cita mereka sehingga sekarang. 

“Kalau bercakap mengenai kleptokrasi pula, Tun mesti ingat bawa Tun telah memerintah dua kali iaitu selama 22 tahun dan satu lagi selama 22 bulan. 

“Maka, ‘kleptokrat-kleptokrat’ ini lahir di bawah didikan Tun sendiri. Seingat saya, jarang kita mendengar masalah-masalah korupsi yang berlaku sebelum zaman Tun menjadi Perdana Menteri. 

“Tetapi sejak era Tun menjadi Perdana Menterilah banyak kita mula dengar mengenai kronisme, nepotisme, salah guna kuasa dan sebagainya.

Pada era itu jugalah banyak tauke-tauke dan taikun-taikun Cina yang ‘naik’ di mana kebanyakannya adalah kroni-kroni Tun juga. 

“Takkan Tun tidak sedar atau lupa hakikat ini? Atau Tun sengaja mahu dipadamkan dari ingatan rakyat?,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir dinasihatkan agar menginsafi diri kerana orang Melayu sudah mual dengan kritikan-kritikan yang tidak berasas ini. 

“Saya nasihatkan agar Tun banyakkan beristighfar di bulan yg mulia ini. Marilah kita sama-sama bina negara ini. Yang lemah kita perbaiki. Yang lepas itu kita sama-sama ambil sebagai pengajaran.

“Saya sangat berharap agar Tun diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk memikirkan semula segala hinaan Tun terhadap orang Melayu yang tidak berasas itu sebelum terlambat. 

“Mungkin ada cita-cita Tun yang masih belum tercapai yang menyebabkan Tun ‘melatah’ sebegini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button