Berita Utama

Buku Tatacara Parlimen versi bahasa Melayu dilancar

Supaya aturan mesyuarat Dewan Rakyat lebih difahami

KUALA LUMPUR, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof hari ini melancarkan buku terjemahan “Tatacara Parlimen: Panduan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat”.

Buku itu diterjemah ke bahasa Melayu daripada buku “Malaysian Parliamentary Procedure: A Guide to the Standing Orders of the Dewan Rakyat” karya Monique M. Smith dan Maha Balakrishnan oleh Adam Adli.

Mohamad Ariff dalam ucapannya berharap penerbitan buku berkenaan mampu memberi kefahaman kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi Parlimen dan rakyat bagi memahami aturan mesyuarat Dewan Rakyat dengan lebih mudah.

Beliau menyifatkan buku itu hadir tepat pada masa ketika minat yang tinggi pelbagai pihak khususnya pada Dewan Rakyat, yang akan mengadakan persidangan pada Isnin.

“Menjelang sesi pembukaan sidang Dewan Rakyat 2020 yang berlangsung minggu hadapan, semua pihak akan tertumpu kepada persidangan itu. Justeru, saya amat mengesyorkan buku diperoleh supaya (Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat) dapat difahami dengan lebih baik,” katanya pada majlis pelancaran yang dilaksanakan menerusi aplikasi Webex Meet di Perpustakaan Parlimen.

Mohamad Ariff berkata, pelancaran buku secara dalam talian itu adalah satu cara mengamalkan kebiasaan baharu ekoran wabak COVID-19 yang melanda dunia sekarang.

Pada 2 Mac lepas, Mohamad Ariff melancarkan versi asal buku itu di Parlimen.

Mohamad Ariff memuji Institut Demokrasi Nasional (NDI) dan pengarang buku itu atas kegigihan mereka menghasilkan buku berkaitan peraturan persidangan Dewan Rakyat.

Katanya buku itu akan menjadi sebahagian projek buku “Law, Principles and Practice in Dewan Rakyat” (Undang-Undang, Prinsip dan Amalan di Dewan Rakyat) yang memberikan penjelasan serta ilustrasi komprehensif mengenai prinsip, peraturan dan prosedur Parlimen. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button