Berita UtamaIstimewa

Dulu ‘liat’ ke Parlimen, sekarang jadi pembangkang sibuk nak berbahas

COVID-19 sedang menular, PH berani turun jalanan beramai-ramai?

BANGI, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Kenapa pembangkang Pakatan Harapan (PH) tergesa-gesa dan bersungguh sangat mahu berbahas di Parlimen, sehingga sanggup mengugut turun ke jalanan untuk berdemontrasi, soal Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata, bukan hanya pembangkang yang tidak boleh berbahas pada sidang Parlimen 18 Mei nanti, bahkan pihak kerajaan juga tidak dibenarkan mengemuka usul dan berbahas pada hari berkenaan.

Aminuddin turut hairan dengan sikap PH yang beriya-iya mahu perbahasan diadakan, sedangkan ketika menjadi pemerintah terlalu ‘liat’ mahu hadir ke Parlimen dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

“Sebenarnya, bukan pembangkang sahaja yang tak boleh berbahas ketika sidang Parlimen yang berlangsung selama satu hari itu nanti. Pihak di sebelah kerajaan juga tak boleh kemukakan usul dan berbahas.

“Jadi, kedua-dua pihak memang akan terkesan. Jadi PH nak demonstrasi protes terhadap siapa? Yang Dipertuan Agong?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu yang seolah-olah mengugut mahu mengadakan demonstrasi jalanan sebagai protes sidang Parlimen 18 Mei hanya diadakan sehari tanpa sebarang perbahasan.

“Jelas sekali tindakan ini bukan sahaja tidak mencerminkan kewibawaan dan sikap demokratik kerajaan kini, malah turut menunjukkan kegusaran kerajaan Perikatan Nasional terhadap usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sekiranya Parlimen tidak dijadikan medan terbuka yang berkesan untuk menunjukkan keberkesanan sistem demokrasi dalam negara, adakah ini bermakna bahawa jalan raya bakal menjadi medan penentu selepas ini?” kata Mohamad.

Sambil menyindir, Aminuddin menyifatkan pembangkang sudah berhasrat kembali kepada bidang kepakaran mereka, setelah lebih dua tahun tidak turun di jalanan.

“Pasti mereka tidak sabar-sabar mahu ‘beraksi’ seperti dahulu. Ketika wabak COVID-19 ini sedang menular ini, apakah mereka berani turun ke jalanan beramai-ramai?

“Semestinya berdemonstrasi akan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan tidak mustahil akan timbul kluster baharu, iaitu Kluster Demonstrasi. Mungkin ini yang mereka mahukan untuk diri mereka, dan mungkin ini yang mereka mahukan untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak terikut-ikut dengan lagak pembangkang kerana akan membahayakan nyawa selain risiko jangkitan tinggi.

“Rakyat pasti bijak menilai dan waras berfikir perkara ini. Jika Tun Mahathir turun pun, akan membahayakan dirinya juga. Tetapi kalau beliau degil, silakan sahaja.

“Tetapi kalau beliau degil, silakan sahaja. Atas sebab nafsu serakah kepentingan politik, tidak mustahil mereka akan benar-benar turun berdemonstrasi pada waktu-waktu genting ini. Kita sama-sama nantikan,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close