Berita Utama

‘Ilmu hitam’ warga asing jadikan mereka kebal undang-undang

Sikap tunding jari punca perniagaan tempatan diambil alih

BANGI, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Sikap tidak tegas serta menuding jari pihak berkuasa dilihat punca lokasi perniagaan anak tempatan diambil alih oleh warga asing.

Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah, Datuk Abd Jalil Ali menegaskan, perihal pendatang asing – termasuk PATI – di Kuala Lumpur mengambil alih perniagaan anak tempatan bukanlah isu baharu dan bukan normal baharu yang wujud selepas COVID-19.

“Seingat saya sejak mula datang ke Kuala Lumpur empat dekad dulu isu itu sudah diperkatakan orang. Peniaga Melayu asal selalu mengeluh dan tertekan. Saya masih ingat kawasan sekitar Chow Kit, khasnya Lorong Raja Bot dan Jalan Haji Hussein, satu demi satu diambil alih oleh warga asing dari seberang.

“Mereka mulanya menumpang ruang kecil di gerai Melayu Lorong Raja Bot, menjalankan perniagaan membaiki kasut. Tidak lama kemudian kedai itu menjadi kedai mereka, tidak lagi membaiki kasut tetapi sudah menjadi pembuat dan penjual capal.

“Akhirnya kawasan perniagaan asal kepunyaan anak tempatan itu diambi alih oleh orang asing menjual jamu, ubat kuat, songkok, kain batik dan macam-macam,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Bukan sahaja Chow Kit katanya, mana-mana kawasan perniagaan, termasuk Pasar Borong Selayang turut dikuasai oleh warga asing.

“Pihak berkuasa, khasnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bukan tidak tahu perkara ini; masakan tidak tahu perkara terjadi terang-terangan di hadapan mata! Tetapi baik Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi terlibat semua seperti kena pukau, tidak dapat berbuat apa-apa.

“Maka ilmu hitam yang digunakan oleh warga asing dari pelbagai pelosok dunia itu menjadikan mereka kebal dan tidak takut undang-undang. Seyogia bomoh dan dukun tempatan yang handal pun tidak dapat melawan pendatang asing,” katanya.

Meskipun datuk bandar serta menteri bersilih ganti, Abd Jalil berkata, masalah penguasaan pendatang asing terhadap perniagaan anak tempatan di Kuala Lumpur masih tidak dapat diatasi.

“Congaknya mudah sahaja, orang kita diberikan lesen berniaga oleh pihak berkuasa. Tetapi oleh sebab malas, bodoh dan ingin untung mudah, lesen itu digadaikan kepada pendatang asing.

“Pihak berkuasa tempatan, khasnya DBKL, pula tidak bertindak tegas. Mereka sedar ada pemilik tempatan menggadaikan lesen, tetapi mereka tidak berupaya bertindak. Ada ramai yang buat aduan, tetapi DBKL berkata pihaknya tidak dapat bertindak ke atas warga asing sebab itu bidang kuasa Imigresen,” kata beliau.

Mengulas lanjut katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) pula tidak dapat bertindak ke atas peniaga tempatan yang menggadaikan lesen kerana pengeluaran dan pembatalan lesen adalah di bawah bidang kuasa DBKL.

“Maka PBT dan agensi saling menuding jari, masing-masing tidak ada gigi. Itulah sebabnya seinci demi seinci lokasi perniagaan anak tempatan diambil alih oleh warga asing. Sehari dua ini nampak ada ketegasan.

“Seperti dilaporkan media Imigresen bertindak menggempur warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Harap-harap jabatan tersebut dengan kerjasama agesi lain terus menggempur mereka yang mengganggu perniagaan warga tempatan. Diharapkan juga Menteri Wilayah yang baharu, Tan Sri Annuar Musa boleh mengatasi masalah peniaga tempatan yang memajakkan lesen kepada warga asing,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button