
BANGI, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Kaunter JPA4U, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah dibuka dan beroperasi mulai hari ini, dari jam 8 pagi sehingga 3.30 petang.
Sehubungan itu, pelanggan yang berurusan di kaunter JPA4U adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu memakai topeng muka dan mematuhi penjarakan sosial, menurut Unit Komunikasi Korporat JPA.
“Kepatuhan dan disiplin sosial adalah penting untuk kita memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sejak minggu lalu, kebanyakan pejabat kerajaan dan agensinya mula beroperasi secara berperingkat selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Bagaimanapun, kelonggaran beroperasi masih tertakluk dengan beberapa syarat ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).