Berita Utama

Kerajaan dijangka terima semula aset RM465.3 juta kes Riza Aziz

Tertuduh perlu bayar sejumlah kompaun kepada kerajaan

KUALA LUMPUR, 21 Ramadan 1441H, Khamis – Kerajaan Malaysia dijangka menerima semula aset di luar negara dianggarkan berjumlah USD107.3 juta (RM465.3 juta) dalam kes pengubahan wang haram yang dihadapi Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam kenyataan media hari ini berkata, pihak pendakwaan telah memohon kepada mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan Riza daripada beberapa pertuduhan yang dibuat pada 5 Julai 2019 di Mahkamah Sesyen di sini.

SPRM berkata, badan itu dimaklumkan bahawa ia merupakan pelepasan bersyarat dengan pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

“Hasil keputusan ini, kerajaan Malaysia dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara yang terlibat daripada kesalahan berkenaan iaitu dianggarkan berjumlah USD 107.3 juta (RM465.3 juta).

Dalam persetujuan ini juga, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dengan ini adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan yang telah dikenakan ke atasnya,” kata kenyataan itu.

SPRM berkata, persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah itu adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza daripada pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion), didakwa diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan untuk melepas tanpa membebaskan lelaki itu susulan beberapa representasi difailkan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan untuk mengendalikan kes itu, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan bahawa satu persetujuan telah dicapai antara pihak pendakwaan dengan tertuduh di bawah terma-terma bahawa Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang membabitkan beberapa juta ringgit.

“Hasil daripada persetujuan yang dicapai, dengan itu pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh tidak akan diteruskan buat masa ini sementara menunggu persetujuan itu dilaksanakan sepenuhnya.

Sri Ram berkata, sekiranya berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, langkah sewajarnya akan diambil untuk memastikan tertuduh dibebaskan sepenuhnya.

“Sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan itu dan mendakwa tertuduh mengikut undang-undang,” katanya.

Pada 5 Julai tahun lepas, Riza, 43, pemilik Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close