Berita UtamaPendapat

Kerajaan Perpaduan Israel 2020: Apa kelebihan kepada Donald Trump?

Pengaruh pelobi Yahudi AS, adakah mereka 'deep state' dalam politik

SELEPAS tiga kali PRU diadakan, akhirnya Benjamin Netanyahu (Parti Likud) dan Benjamin Grantz (Blue & White Party) bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan akibat kedua-dua parti gagal mencapai majoriti.

Dalam kerajaan perpaduan ini, Netanyahu akan menjawat jawatan Perdana Menteri selama 18 bulan sehingga Oktober 2021 dan akan digantikan semula oleh Grantz usai tamat tempoh 18 bulan itu.

Soal portfolio kerajaan ini pula, Netanyahu tetap dengan jawatannya kini dan berkuasa dalam soal kehakiman dan undang-undang negara manakala Grantz pula akan menjawat sebagai timbalan perdana menteri dan berkuasa dalam soal pertahan Israel dan hubungan luar.

Grantz memberi alasan beliau menerima tawaran Netanyahu atas rasa patriotik terhadap Israel dan keperluan rakyat Israel untuk bersama-sama menghadapi krisis COVID-19.

Tindakan Netanyahu & Grantz ini telah mencetuskan satu rusuhan yang berlaku di Rabin Square. Orang ramai berkumpul bagi membantah keputusan kerajaan yang mengekalkan Netanyahu di tampuk pemerintahan sedangkan beliau menghadapi tuduhan rasuah yang agak berat.

Namun begitu, Netanyahu mempunyai kuasa dalam melantik pihak speaker Knesset dalam kalangan anggota Parti Likud dan kuasa veto terhadap soal kehakiman. Ini sudah tentu membolehkan tuduhan rasuah ke atasnya digugurkan begitu sahaja.

Tambahan pula, Grantz membentuk kerajaan dengan Netanyahu tanpa sokongan majoriti daripada parti pimpinannya. Jumlah anggota Blue & White Party di parlimen adalah sedikit dan tidak mampu untuk mengimbangi pengaruh Netanyahu.

Pembentukan kerajaan perpaduan Israel ini sudah tentu akan membantu Trump dalam persediaan menghadapi pilihan raya presiden Amerika Syarikat. Selepas menandatangani perjanjian yang mengiktiraf Bukit Golan sebagai hak milik penuh Israel pada Mac 2019, kini Trump menanti peluang untuk meneruskan pelan damai Israel dengan Palestin yang sebenarnya menjerat Palestin ke dalam perangkap Israel. Kesemua tindakan beliau yang memihak Israel ini semata-mata untuk melobi orang Yahudi bagi memperoleh sokongan undi.

Donald Trump sentiasa menanti apa-apa peluang untuk membolehkan beliau kekal lagi sebagai presiden Amerika Syarikat (Sumber: ABC News)

Trump berpeluang untuk mendapatkan sokongan seramai 50 juta orang Evangelical Christian Zionist dan masyarakat minoriti Yahudi Amerika yang menyokong pelan Greater Israel bagi membolehkan beliau kekal di Rumah Putih untuk empat tahun lagi.

Dengan pengekalan Netanyahu di tampuk pemerintahan kerajaan Israel, Trump boleh meneruskan perjanjian damai Israel-Palestin yang dipanggil sebagai “Peace to Prosperity: A Vision To Improve The Lives Of The Palestinian and Israeli People” dalam kempen pilihan rayanya.

Walaupun Trump menghadapi pelbagai perspektif negatif mengenai kegagalan Amerika Syarikat dalam mengurus pandemik COVID-19, sokongan undi daripada pelobi Yahudi ini mampu membantu beliau untuk kekal sebagai presiden, ditambah pula dengan perancangan jangka panjang beliau yang pro-Israel.

Israel yang merupakan pemegang taruh terbesar dalam hal ini memperoleh manfaat apabila perjanjian damai ini akan membolehkan kawasan tanah di Tebing Barat dirampas secara total oleh Israel seterusnya membina penempatan haram Yahudi di situ.

Malah, PLO yang merupakan pentadbir utama Palestin tidak akan memperoleh penguasaan penuh ke atas Palestin dan Hamas akan diharamkan untuk terus terlibat dalam politik. Hal ini akan menyebabkan segala kumpulan persenjataan yang dianggap pengganas (merujuk Hamas) akan dikekang oleh Israel.

Dalam soal ekonomi pula, peruntukan sebanyak $50 bilion kepada Palestin dengan alasan untuk membantu Palestin membina infrastruktur sedangkan projek pembinaan infrastruktur ini merupakan projek berasaskan hutang.

Sudah tentu Palestin akan terjerat dengan krisis hutang yang berpanjangan dan terikat dengan polisi ekonomi yang menguntngkan Israel.

Kesimpulan

Pengekalan Netanyahu sebagai Perdana Menteri untuk tempoh 18 bulan sudah cukup untuk membolehkan pelan damai ini berjaya dilaksanakan. Walaupun beliau akan digantikan dengan Grantz pada Oktober 2021, majoriti ahli parlimen Israel iaitu Knesset masih dipegang oleh parti Likud.

Mungkin segala polisi yang ingin dibuat akan dipengaruhi oleh keputusan daripada ahli majoriti ini dan dasar terhadap Palestin termasuk pelan damai ini tidak akan berubah. Netanyahu sudah selesai dengan permainannya dalam pilihan raya, adakah Trump akan turut berjaya? Pengaruh pelobi Yahudi Amerika Syarikat dalam pilihan raya mereka menimbulkan persoalan adakah golongan ini merupakan deep state dalam politik dan pentadbiran Amerika Syarikat.

Dengan adanya sokongan mereka, Trump dapat merencana sesuatu untuk kempennya. Jika diamati karya The Prince karya Niccolo Machiavelli, Trump seakan-akan dihampiri Fortuna (nasib baik) dalam menghadapi pilihan raya kali ini walaupun dihimpit dengan isu ketidakcekapan beliau mengatasi COVID-19. Kini, beliau hanya perlu menggunakan Virtu (kebijaksanaan) untuk membolehkan beliau kekal sebagai presiden untuk tempoh empat tahun lagi.

Imran Hakimi
Kolumnis Fokus dan Pelajar Jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

Rujukan:
1) Greater Israel is the objective as Netanyahu plans to wipe Palestine off the map-Middle East Monitor

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close